Ku Li: PAS, Umno bukan beradik kerana berbeza ibu bapa

Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan dakwaan Dr Mahathir Mohamad sebagai provokasi dan helah politik.

KUALA LUMPUR: Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menafikan PAS dan Umno ialah adik-beradik seperti didakwa Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau merujuk dakwaan Dr Mahathir yang menyifatkan PAS dan Umno adik-beradik selepas parti Islam itu tidak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Ahli Parlimen Gua Musang itu yang lebih dikenali sebagai Ku Li menyifatkan dakwaan perdana menteri sebagai provokasi dan helah politik.

“Orang boleh tafsir macam-macam, tetapi kena ingat ini adalah politik. Mana boleh dia kata PAS dan Umno adik-beradik, sedangkan kita tahu PAS dan Umno ini ibu dan bapa lain-lain,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Pada 19 Julai lalu, Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir dilaporkan berkata, parti Islam itu tidak akan menurunkan calon dalam PRK Sungai Kandis atas prinsip satu lawan satu untuk memberi peluang terbaik kepada pembangkang.

Barisan Nasional (BN) menurunkan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam untuk mencabar calon PH, Zawawi Ahmad Mughni yang dalam misi mempertahankan kerusi PKR itu.

Zawawi ialah pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh, Jalan Kebun dan setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR.

PRK Sungai Kandis akan diadakan 4 Ogos ini susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma, pada 2 Julai lalu.

Pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, Shuhaimi memenangi kerusi itu (dahulu Sri Muda) untuk penggal ke-3 berturut-turut dengan 23,998 undi, mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518 undi), calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76 undi).

PRK Sg Kandis: PAS, Umno 2 beradik, kata Dr M