Umno cuba dapatkan kerjasama PAS bantu calon BN di Sg Kandis

Ismail Sabri Yaakob (dua dari kanan) dan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan (tengah) berkempen untuk calon BN, Lokman Noor Adam (kanan) di Pusat Gerak Kerja BN DUN Sungai Kandis, malam ini.

SHAH ALAM: Umno Selangor sedang mengadakan rundingan untuk membolehkan pemimpin parti itu dan PAS sepentas bagi membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.

Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerjasama itu perlu untuk menawan hati pengundi setempat yang majoritinya ialah orang Melayu.

“Contohnya kita letakkan setiausaha agung Umno sepentas dengan setiausaha agung PAS. Namun, sama ada ia berjaya atau tidak, masih belum diketahui.

“Kita akan adakan forum perdana yang turut diwakili penceramah dikaitkan dengan Umno dan PAS, contohnya (personaliti program motivasi, Syamsul Amri Ismail yang lebih dikenali sebagai) Syamsul Debat. Orang tahu dia adalah orang Umno.

“Begitu juga dengan Azhar Idrus yang orang tahu beliau dikaitkan dengan PAS. Kita hendak wujudkan kerjasama di antara Umno dan PAS,” katanya di Pusat Gerak Kerja BN Sungai Kandis, malam ini.

Naib presiden Umno itu berkata, pendekatan berkempen BN di Sungai Kandis berbeza dengan pilihan raya umum lalu kerana akaun parti dibekukan pihak berkuasa.

Katanya, BN tidak akan mengadakan ceramah dan jamuan besar-besaran, sebaliknya hanya menumpukan kawasan kecil.

“Tidak boleh mengadakan ceramah di rumah ketua cawangan, Puteri atau Wanita kerana yang akan hadir hanyalah penyokong kita. Ia mesti dilakukan di rumah orang berkecuali.

“Kita akan memperbanyakkan perang di media sosial. Pihak pengurusan negeri akan menyelaraskan dan membuat info grafik yang akan dihantar melalui WhatsApp ke 32,000 nombor telefon di Sungai Kandis yang kita ada.

“Kita akan keluarkan info grafik itu pada waktu pagi dan petang, setiap hari juga kita akan hantar risalah untuk diedarkan pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri.”

PRK Sungai Kandis menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dengan calon Pakatan Harapan, Zawawi Ahmad Mughni serta calon bebas, K Murthy, selepas PAS tidak menurunkan calon atas prinsip satu lawan satu untuk memberi peluang terbaik kepada pembangkang.

PRK Sungai Kandis akan diadakan 4 Ogos ini susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma, pada 2 Julai lalu.

Pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, Shuhaimi memenangi kerusi itu (dahulu Sri Muda) untuk penggal ke-3 berturut-turut dengan 23,998 undi, mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518 undi), calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76 undi).