SB sanggup sumpah dengan Al-Quran nafi tuduhan isteri Amri

SB sanggup sumpah dengan Al-Quran nafi tuduhan isteri Amri

Shamzaini Daud menafikan dakwaan polis terlibat dalam kehilangan Amri Che Mat.

Free Malaysia Today
Sarjan Mohd Shamzaini Mohd Daud.
KUALA LUMPUR:
Pegawai siasatan Cawangan Khas sanggup bersumpah dengan Al-Quran untuk menafikan tuduhan isteri aktivis yang hilang, Amri Che Mat, namun inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sempat menahannya.

Sambil membuka begnya, Sarjan Mohd Shamzaini Mohd Daud berkata dia membawa Al-Quran dan mahu mengangkat sumpah menafikan tuduhan Norhayati Ariffin, yang menuduh polis terlibat dalam kehilangan suaminya.

“Ini merupakan hak saya setelah dituduh oleh Norhayati dengan sebegini,” katanya sambil memandang panel inkuiri Suhakam, yang dipengerusikan Datuk Mah Weng Kwai.

Sejurus melihat Shamzaini mahu mengeluarkan kitab suci itu, peguam mewakili keluarga Amri, Razlan Hadri bangun dan meminta Shamzaini untuk tidak berbuat demikian, kerana inkuiri bukan tempat yang sesuai untuk bersumpah dengan Al-Quran.

Mah pula berkata Shamzaini sudahpun mengangkat sumpah sebelum memberi keterangan hari ini.

Terdahulu, Shamzaini disoal peguam mewakili keluarga Amri, Jerald Gomez mengenai pertemuannya dengan Norhayati pada 12 Mei tahun ini dan tuduhan polis mengambil Amri.

Shamzaini berkata Norhayati berbohong apabila mengatakan dia yang memberi maklumat tentang kehilangan Amri, dan meminta Norhayati membuat laporan polis jika mempunyai maklumat.

Sebelum ini, Norhayati dalam keterangannya kepada Suhakam 30 Mei lalu mendakwa Shamzaini pada 12 Mei memberitahunya bahawa Amri diambil polis Bukit Aman secara kasar.

Amri dilaporkan hilang pada 24 November 2016. Menurut Norhayati, Shamzaini memberitahu kehilangan Amri mempunyai kaitan dengan aktiviti Syiah dan tukaran mata wang asing.

Anda diberi peluang buat perkara betul, rayu isteri Amri

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.