Khalid Samad: Kerajaan komited terus perkasa Mahkamah Syariah

Khalid Samad: Kerajaan komited terus perkasa Mahkamah Syariah

Menteri wilayah itu berkata, usaha memperkasakan Mahkamah Syariah bukan sekadar meningkatkan hukuman kepada pesalah syariah.

Free Malaysia Today
Khalid Samad berkata, wakil rakyat PAS bebas membawa sebarang usul persendirian ke Dewan Rakyat, termasuk RUU 355.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) komited meneruskan usaha memperkasakan Mahkamah Syariah, tetapi ia bukan sekadar meningkatkan hukuman terhadap pesalah syariah, kata Menteri Wilayah, Khalid Samad.

Beliau yang juga pengarah komunikasi Amanah berkata, wakil rakyat PAS bebas membawa sebarang usul persendirian ke Dewan Rakyat, termasuk Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.

“Suruh ahli Parlimen Kelantan bawalah usul RUU 355 untuk dibahaskan di Dewan Rakyat.

“Tetapi, bukan sekadar dengan menaikkan hukuman kerana saya rasa pemerkasaan Mahkamah Syariah memerlukan lebih daripada itu,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Exco Kelantan, Datuk Mohd Nasuruddin Daud dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan mengadakan rundingan dengan kerajaan persekutuan berhubung RUU 355, selepas timbul desas-desus RUU persendirian itu tidak akan dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat kali ini.

Perbahasan RUU 355 ditangguhkan sejak tahun lalu, selepas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pertama kali membentangkan usul persendirian itu di Dewan Rakyat pada Mei 2016.

RUU 355 mencadangkan hukuman penjara ke atas pesalah syariah ditambah kepada 30 tahun, denda maksimum RM100,000 dan sebat 100 kali berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

April lalu, Hadi dilaporkan berkata, PAS tidak berasa tertipu dengan tindakan kerajaan Barisan Nasional tidak membahaskan RUU 355 pada sidang Dewan Rakyat lalu yang berakhir 5 April lepas.

Beliau percaya RUU 355 tetap akan dibahaskan di Dewan Rakyat, selepas pilihan raya umum ke-14.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata, kerajaan akan menyelesaikan usul yang dibentangkan di Dewan Rakyat berdasarkan kepentingannya.

“Jadi, usul yang ada menjadi keutamaan dan perlu diambil dahulu berdasarkan kepentingan kerajaan baru.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.