
Menurutnya, ini disebabkan penolakan rakyat terhadap bekas perdana menteri itu adalah jelas.
“Bahkan saya difahamkan ada satu lawatan yang terpaksa dibatalkan oleh Barisan Nasional (BN) kerana melihat penolakan masyarakat terhadap ketibaan bekas perdana menteri itu.
“Ini secara tidak langsung memberikan ‘mileage’ kepada saya,” katanya pada sidang medianya di bilik gerakan PKR di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kehadiran Najib semalam yang turun di DUN Sungai Kandis bagi membantu calon BN Datuk Lokman Noor Adam berkempen untuk PRK.
Dalam pada itu, mengulas mengenai saranan PAS kepada ahlinya bagi menyokong calon BN, Mohd Zawawi berpendapat, semua orang boleh memberikan pendapat dan bersuara dalam sistem demokrasi hari ini.
Bagaimanapun Zawawi berkata, daripada pengalamannya bertemu dengan pimpinan PAS di peringkat akar umbi yang kebanyakannya rakan-rakan beliau menyatakan sokongan padanya untuk PRK kali ini.
“Mereka menyatakan sokongan di belakang, tidak secara terbuka. Ini yang menjadikan saya yakin ramai penyokong PAS yang tahu latar belakang saya akan undi nanti.
“Secara peribadi mereka menyatakan sokongan termasuklah bukan di kalangan PAS sahaja tetapi di kalangan Umno. Ada yang telefon, ada yang berjumpa secara tidak rasmi,” katanya.
Zawawi berkata, beliau yakin pngundi akan mengundinya pada 4 Ogos ini kerana mereka juga membuat perbandingan calon yang ditawarkan.
“Oleh kerana DUN Sungai Kandis adalah majoriti Melayu, mereka mahukan anak tempatan yang tahu tentang denyut nadi dan masalah mereka, masalah asas insfrastruktur, jalan, parit dan sebagainya,” katanya.
Baru-baru ini, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata keputusan untuk memberi laluan kepada calon Umno dalam PRK DUN Sungai Kandis bertujuan memastikan undi pembangkang tidak pecah dan calon Pakatan Harapan (PH) lebih mudah ditewaskan.
3 calon bakal bertanding dalam PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos ini membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam, calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni serta calon Bebas, K Murthy.