PRK Sungai Kandis: SPR sahkan pertandingan 3 penjuru

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata 3 calon itu adalah dari PKR, BN dan Bebas.

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan menerima penamaan 3 orang calon untuk pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dijadualkan 4 Ogos depan.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata 3 calon itu adalah dari PKR, Barisan Nasional (BN) dan Bebas.

Ahmad Zaharin berkata calon PKR ialah Zawawi Mughni, calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas Murthy Krishnasamy.

“Saya memaklumkan bahawa SPR telah menerima kertas 3 calon di Sungai Kandis.

“Zawawi pada jam 9.08 pagi, Lokman 9.09 pagi dan Murty pada 9.35 pagi.

“Hari mengundi pada 4 Ogos 2018,” katanya pada sidang media di luar Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam di Seksyen 19.

Sebelum itu kedua-dua calon BN dan PH mengemukakan kertas penamaan calon masing-masing di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam di Seksyen 19.

Semalam, ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis.

Bekas pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu akan mencabar calon PH, Zawawi Ahmad Mughni, yang akan mempertahankan kerusi PKR itu.

Zawawi merupakan pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh, Jalan Kebun dan setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei awal bulan lalu akibat kanser limfoma.

Pada pilihan raya umum lepas, PKR mempertahankan kerusi itu untuk penggal ketiga dengan majoriti 12,480 undi menewaskan calon BN, PAS dan Parti Rakyat Malaysia.

SPR menetapkan hari pengundian pada 4 Ogos depan.