
Penunjuk perasaan yang mewakili kumpulan Islam melaungkan “Allahu Akbar” ketika berarak dari Masjid Jamek Simpang Enam ke Komtar selepas solat Jumaat, bagi menyerahkan memorandum kepada pejabat Ramasamy yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Sri Lanka, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Mereka bertembung dengan 40 NGO yang berhimpun di Komtar untuk menunjukkan solidariti kepada Ramasamy.
Wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhammad Yusuf Azim menggesa Ramasamy meletak jawatan dan polis menyiasat pemimpin DAP itu secara adil.
Kekecohan berlaku kira-kira 20 minit itu dan anggota Pasukan Tindakan Ringan (LSF) mewujudkan sebuah zon penampan bagi mengelakkan kedua-dua kumpulan menghampiri satu sama lain.
Polis memberi amaran kepada penunjuk perasaan supaya tidak membuat provokasi terhadap satu sama lain.
Zakir Naik
Presiden Tamilar Kural Malaysia, David Marshel yang mengetuai himpunan solidariti berkata, Ramasamy bukan pengganas, sebaliknya beliau pernah menjadi orang tengah dalam rundingan damai untuk beberapa negara.
David menolak semua dakwaan terhadap Ramasamy yang didakwanya cubaan mengalihkan tumpuan daripada isu sebenar berkaitan penceramah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik.
“Semua orang tahu siapa pengganas yang dikehendaki di negara seperti Bangladesh, India dan Singapura. Negara terbabit menggesa penahanan pendakwah itu.
“Tetapi, saya tidak dengar sebarang negara yang mahu Ramasamy ditahan,” katanya.
Asri puji
Ramasamy menjadi sasaran beberapa aktivis Islam, termasuk Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin, selepas mempersoalkan keputusan Putrajaya enggan mengusir Zakir yang dikehendaki India atas dakwaan terbabit dalam aktiviti keganasan dan pengubahan wang haram.
Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin memuji ratusan penunjuk perasaan yang berarak di George Town hari ini untuk menyuarakan bantahan terhadap Ramasamy.
“Alhamdulillah, semua bergerak membantah Ramasamy. Jangan dibiarkan ancaman LTTE menggugat negara,” tulisnya di Facebook hari ini.
Asri bersama beberapa aktivis Islam dan pengikutnya menggesa tindakan diambil terhadap Ramasamy yang didakwa mempunyai kaitan dengan LTTE, selepas gambar beliau memberi penghormatan kepada imej sepucuk senapang kalashnikov dan menyertai mesyuarat Jawatankuasa Hal Ehwal Perlembagaan LTTE tersebar di media sosial.
Ramasamy dilaporkan berkata, jawatankuasa itu ditubuhkan kerajaan Sri Lanka selepas Colombo dan LTTE memeterai perjanjian damai, serta beliau turut dijemput menganggotai jawatankuasa perdamaian di Aceh.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata, pihaknya menerima 53 laporan polis, termasuk daripada Ramasamy sendiri, berhubung isu berkenaan.
Rabu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ramasamy dan Asri di Putrajaya bagi meminta penjelasan serta meredakan keadaan antara kedua-dua pihak itu.