Orang Asli sekat pekerja ladang durian ‘Musang King’

Masyarakat Orang Asli akan meneruskan sekatan di laluan Pos Tohoi, Bihai dan Pasik selagi kerajaan negeri tidak menyelesaikan tuntutan tanah adat bagi masyarakat tersebut. (Gambar Facebook)

GUA MUSANG: Tiga puluh penduduk Orang Asli bertindak menghalang sekumpulan pekerja yang ingin masuk ke ladang durian “Musang King” di laluan masuk ke Pos Tohoi di sini, semalam, mengakibatkan kekecohan berlarutan hampir 6 jam.

Bagaimanapun, kekecohan dari pukul 9 pagi hingga 3 petang itu disuraikan secara aman apabila kumpulan pekerja itu berundur dan berpatah balik ke pekan Gua Musang.

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan Mustafa Along berkata penduduk Orang Asli bertindak menghalang kumpulan pekerja ladang durian Musang King memasuki kawasan tersebut bagi mengelakkan lebih banyak tanah adat masyarakat itu dimusnahkan akibat aktiviti pertanian.

“Tanah untuk ladang durian ‘Musang King’ itu baru dibuka oleh sebuah syarikat di kawasan seluas 400 hektar dekat Pos Simpor tanpa ada rundingan dengan penduduk terlebih dahulu.

“Kami bukan sahaja bertindak menghalang aktiviti pembalakan di kawasan perkampungan Orang Asli malah syarikat yang mengusahakan pelbagai tanaman secara meluas kerana tindakan itu memusnahkan tanah adat kami dan mengakibatkan pencemaran sungai,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, ketua sekatan pembalakan Dendi Johari berkata masyarakat Orang Asli akan meneruskan sekatan di laluan Pos Tohoi, Bihai dan Pasik selagi kerajaan negeri tidak menyelesaikan tuntutan tanah adat bagi masyarakat tersebut.

Beliau berkata setakat ini penduduk belum menerima sebarang keputusan berhubung penyelesaian tanah adat itu dan mahu ia diselesaikan segera.