SPM 2025: Pencapaian cemerlang pelajar Orang Asli cermin komitmen Jakoa

SPM 2025: Pencapaian cemerlang pelajar Orang Asli cermin komitmen Jakoa

Timbalan perdana menteri Zahid Hamidi berkata kejayaan itu membuktikan pelajar mendapat perhatian serta peluang saksama.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon SPM 2025 atas pencapaian amat membanggakan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Pencapaian cemerlang pelajar Orang Asli dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bersama pelbagai agensi dalam memperkasa pendidikan komuniti itu.

Timbalan perdana menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Zahid Hamidi, berkata kejayaan itu membuktikan setiap pelajar mendapat perhatian serta peluang saksama tidak kira di mana mereka berada.

“Hari ini, kita menyaksikan satu pencapaian yang amat membanggakan apabila empat pelajar Orang Asli berjaya memperoleh keputusan 9A, manakala 114 pelajar mencatat keputusan cemerlang 5A ke atas, meningkat daripada 87 pelajar pada tahun lepas,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, sebagai individu yang menggalas amanah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Zahid menzahirkan rasa bangga apabila 7,636 pelajar daripada 57 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) termasuk 80 pelajar MRSM berjaya memperoleh semua A+ dalam SPM 2025.

“Lebih membanggakan, keputusan SPM 2025 bagi MRSM mencatatkan indeks Gred Purata Maktab (GPM) 2.067 dengan 100% calon layak menerima sijil peperiksaan tersebut.

“Lima MRSM berada dalam kelompok teratas terbaik secara keseluruhan, mengatasi sekolah berasrama penuh (SBP) dan sekolah harian lain di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, hasil pelbagai inisiatif berterusan kerajaan, khususnya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), jurang pencapaian antara calon bandar dan luar bandar semakin mengecil sebanyak 0.04 mata berdasarkan Gred Purata Kebangsaan (GPK).

“Kerajaan akan terus memperkukuh ekosistem pendidikan luar bandar, termasuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif agar setiap pelajar dapat mencapai potensi terbaik mereka,” katanya.

Katanya, institusi seperti pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan GiatMara menyediakan ruang yang lebih luas untuk pelajar meneroka potensi diri melalui ekosistem UP_TVET yang lebih tersusun dan menyeluruh.

“Hari ini, TVET bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya telah menjadi arus perdana baharu dalam membina tenaga kerja mahir, berpendapatan tinggi serta relevan dengan keperluan industri masa hadapan. Malah, 53.9% lepasan SPM memilih laluan TVET,” katanya.

Zahid turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon SPM 2025 atas pencapaian yang amat membanggakan dengan menyifatkan ia sebagai hasil usaha gigih pelajar, dedikasi luar biasa pendidik serta doa dan sokongan berterusan ibu bapa.

“Prestasi tahun ini amat memberangsangkan apabila seramai 13,779 calon berjaya mencatat keputusan cemerlang dengan memperoleh Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.