Kerajaan kaji kenakan syarat kereta buatan asing tak mudah masuk, kata Dr Mahathir

Kerajaan kaji kenakan syarat kereta buatan asing tak mudah masuk, kata Dr Mahathir

Ia bagi memberi peluang kepada Proton dan kereta tempatan menguasai pasaran tempatan.

Free Malaysia Today
Dr Mahathir berkata, negara ini bersetuju dengan perdagangan bebas tetapi apa yang didapati beliau ialah walaupun cukai diturunkan ada sekatan lain yang dikenakan oleh negara maju.
KUALA LUMPUR:
Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata kerajaan perlu mengkaji kemungkinan mengenakan syarat tertentu agar kereta buatan asing tidak masuk dengan mudah ke negara ini.

Perdana Menteri berkata, ia bagi memberi peluang kepada Proton dan kereta tempatan menguasai pasaran tempatan.

“Ini sedang kita fikir,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen (PH-Bukit Bintang) Fong Kui Lin mengenai pembuatan kereta nasional kedua yang dirancang sebelum ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, negara ini bersetuju dengan perdagangan bebas tetapi apa yang didapati beliau ialah walaupun cukai diturunkan ada sekatan lain yang dikenakan oleh negata maju.

“Mereka kenakan syarat tertentu seperti standard eurofil umpamanya yang memerlukan pengeluaran asap daripada kereta itu kurang karbon monoksida.

“Dan ada lagi syarat-syarat lain yang mana kalau kita tak dapat menepati syarat itu, jadi kita tak boleh eksport ke negara mereka.

“Ada juga negara yang kenakan cukai pertanian yang diimport ke negara mereka. Ini juga menyekat kemasukan kereta kita ke negara itu,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, kerajaan amat terbuka mengenai perkara tersebut.

“Segala kereta yang dikeluarkan walaupun dibuat dengan tin milo boleh masuk Malaysia. Kita terbuka siapa yang buat kereta boleh masuk.

“Kita tak boleh masuk negara mereka. Ini masalah yang kita hadapi,” katanya.

Dalam sidang medianya selepas itu, Dr Mahathir ditanya apakah yang akan dilihat oleh kerajaan mengenai kajian berkenaan.

“Kita sedang fikirkan standard, kita juga akan fikirkan kelemahan tertentu yang perlu kita lindungi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.