Bekas pegawai perisikan pertahan diri dari tuduhan khianat

KUALA LUMPUR: Bekas pegawai tinggi perisikan negara mempertahankan diri daripada tuduhan khianat selepas pendedahan surat kepada pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) menggesa Amerika Syarikat menyokong Barisan Nasional jika gabungan itu menang tipis pada pilihan raya lepas.

“Tak ada unsur derhaka dalam surat tersebut. Itu semua bohong, mereka menipu dan tak masuk akal,” kata Datuk Hasanah Ab Hamid, bekas ketua pengarah Bahagian Penyelidikan (ME10) di Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibacakan peguamnya, Datuk Shaharudin Ali pada sidang media selepas beliau membuat laporan polis hari ini.

Hasanah menjelaskan pertukaran maklumat risikan antara agensi-agensi risikan adalah amalan biasa dalam komuniti itu, selaras dengan tujuan penubuhan ME10 iaitu memastikan keselamatan negara.

“Bukan buat aktiviti derhaka seperti yang didakwa,” katanya.

Beliau menambah surat itu “didraf, diperiksa dan dianalisis” oleh tidak kurang daripada 10 pegawai kanan di bawahnya.

“Ia ditulis dengan niat yang baik,” tambahnya.

Sementara itu, peguam turut ditanya tentang kenyataan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang menafikan tahu menahu mengenai komunikasi antara pengarah ME10 dan pengarah CIA.

“Itu tahap jawatan yang dimilikinya. Ada dokumen yang perlu dimaklumkan kepada perdana menteri, ada yang tidak perlu,” kata Shaharudin.

Beliau mengingatkan komunikasi antara pengarah ME10 dan pengarah CIA itu berstatus sulit dan tidak boleh dilihat atau dipaparkan kepada masyarakat umum.

Shaharudin mengesyaki pegawai tinggi kerajaan yang mempunyai akses kepada dokumen rasmi perisikan bertanggungjawab membocorkannya.

“Jika anda dedahkan maklumat sulit negara, anda akan tanggung akibatnya,” kata.

Ini kali pertama Hasanah mengesahkan dia menulis surat bertarikh 4 Mei 2018 kepada Gina Haspel.

Surat itu antara lain menggambarkan Najib sebagai sekutu penting AS, berbanding Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang “anti-Barat” dan “anti-Yahudi”.

Najib berkata beliau tidak pernah mengarahkan surat itu ditulis dan tidak tahu menahu tentang kewujudannya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/07/20/inikah-surat-daripada-pegawai-najib-kepada-bos-cia/