
Zuraida berkata, beliau tidak mahu ahli parti memilih berdasarkan ketua.
“Macam gembala lembu, kalau dia ke kiri semua ke kiri. Jadi saya nak ahli PKR lebih matang dalam mengeksesaiskan menggunakan kuasa mereka untuk mengundi.
“Seperti apa yangg terjadi pada 9 Mei, rakyat Malaysia dah tunjukkan kematangan atas dasar pendirian mereka sendiri,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Ahli parlimen Ampang itu juga berharap ahli parti yang merupakan sebuah parti reformasi boleh membuat keputusan sendiri tanpa terikut-ikut atau dipengaruhi dan mempunyai pasukan masing-masing.
“Macam kita dekat sekolah ada rumah sukan merah, hijau, kuning.
“Dalam semangat macam tu lah tak jadi isu kalau ada pasukan yang ingin bertanding menawarkan yang terbaik untuk parti,” katanya.
Ahad lalu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mengumumkan senarai barisan pasukan Reformasi 20 Tahun bagi sesi pemilihan parti itu yang akan meneruskan agenda reformasi PKR.
Rafizi yang menawarkan diri sebagai calon timbalan presiden PKR berkata, Naib Presiden parti yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berada dalam pasukannya bagi bertanding kerusi naib presiden.
Mengulas lanjut, Zuraida berkata beliau belum lagi memilih posisi mana yang akan ditandinginya dalam pemilihan parti itu.
“Yang boleh dan dapat membantu parti mengukuhkan struktur politik parti di peringkat akar umbi, ranting, cabang yang mana saya lihat terabai dan tidak dipeduli,” katanya.