8 regu dalam pasukan Rafizi hadapi pemilihan PKR

PETALING JAYA: Rafizi Ramli mengesahkan dia menampilkan 8 regu dalam kempen merebut jawatan timbalan presiden PKR, seperti yang terpampang dalam poster kempennya.

Mereka ialah Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Permatang Pauh), Datuk Johari Abdul (Ahli Parlimen Sungai Petani), William Leong (Ahli Parlimen Selayang), S Kesavan (Ahli Parlimen Sungai Siput), Fuziah Salleh (Ahli Parlimen Kuantan), Rodziah Ismail (Adun Batu Tiga), Akmal Masir (Ahli Parlimen Johor Bahru) dan Raymond Ahuar (ketua Pemuda PKR Sabah).

Rafizi memberitahu FMT dia akan mengumumkan barisan penuh pasukannya pada Ahad ini di satu himpunan di Ampang.

Poster itu juga menandakan 20 tahun gerakan reformasi. Dia berada di tengah, diapit 4 orang di kiri dan kanan, dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di atas mereka.

Mereka yang bersekutu dengannya dikatakan akan bertanding untuk jawatan:

  • Naib presiden: Nurul Izzah, Johari Abdul, William Leong dan S Kesavan;
  • Wanita: Fuziah Salleh untuk ketua, dan Rodziah Ismail sebagai timbalan;
  • Pemuda: Akmal Nasir untuk ketua, dan Raymond Ahuar sebagai timbalan.

Rafizi mengumumkan dia akan bertanding timbalan presiden semalam dan dijangka akan berdepan penyandang, Datuk Seri Azmin Ali, yang juga menteri hal ehwal ekonomi.

Azmin belum mengumumkan sama ada dia akan mempertahankan kedudukannya atau merebut kerusi presiden, di mana dia akan berdepan Anwar.

Rafizi calls for support to launch bid for PKR’s No. 2 post