Hayati nilai luhur Hari Wesak, tangkis hasutan kebencian, pesan Anwar

Hayati nilai luhur Hari Wesak, tangkis hasutan kebencian, pesan Anwar

Perdana menteri percaya penyebaran cinta dan kasih sayang dapat menenggelamkan hasutan kebencian, menjernihkan prasangka serta memperkukuh rasa hormat dan persefahaman rakyat Malaysia.

wesak
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berharap sambutan Hari Wesak tahun ini dapat membawa ketenangan, kesejahteraan dan kebahagiaan kepada penganut Buddha di Malaysia.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia merenung nilai luhur yang menjadi asas kehidupan bermasyarakat sempena sambutan Hari Wesak.

Menurutnya, nilai itu khususnya kebijaksanaan, kesederhanaan, ihsan dan kasih sayang sesama insan, bukan sahaja diraikan dalam tradisi keagamaan, malah terus relevan dalam membina masyarakat saling memahami serta menghormati.

Jelasnya, dalam negara yang rencam budaya, agama serta latar kehidupan, nilai cinta, ihsan dan kasih sayang yang diangkat ketika sambutan Wesak memberi makna mendalam, tatkala wujud kelompok cuba menyalakan api permusuhan antara kaum serta agama.

“Saya percaya penyebaran cinta dan kasih sayang akan menenggelamkan hasutan kebencian, menjernihkan prasangka serta memperkukuh hormat dan persefahaman yang menjadi asas kepada keharmonian serta perpaduan negara,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau berharap sambutan Hari Wesak tahun ini dapat membawa ketenangan, kesejahteraan dan kebahagiaan kepada penganut Buddha di Malaysia.

Katanya, sambutan itu juga wajar menjadi titik tolak untuk terus menyemarakkan nilai kemanusiaan yang menyatukan rakyat sebagai bangsa beradab dan bermaruah.

Hari Wesak diraikan penganut Buddha di seluruh dunia hari ini bagi memperingati tiga peristiwa penting dalam kehidupan Siddharta Gautama, iaitu kelahiran, pencerahan dan kematian beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.