Dr M tak guna Azmin sekat pengaruh saya, kata Anwar

Dr M tak guna Azmin sekat pengaruh saya, kata Anwar

Ketua umum PKR itu berkata, beliau tidak bimbang kerana tahu kekuatan PKR dan hubungannya dengan rakan dalam PH.

Free Malaysia Today
Anwar Ibrahim berbual dengan isteri Mat Suhaimi Shafiei, Jamilah Sahak (duduk, 3 dari kiri) selepas majlis tahlil di kediaman keluarga Allahyarham, malam tadi. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis spekulasi Tun Dr Mahathir Mohamad mempergunakan Datuk Seri Azmin Ali untuk menyekat pengaruhnya dalam Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan.

“Dari segi menyekat peranan saya, pengaruh saya, secara jujur saya tidak risau. Saya tahu kekuatan parti saya dan hubungan saya dengan rakan-rakan gabungan (PH),” katanya selepas menghadiri majlis tahlil bekas Adun Sungai Kandis, Mat Shuhaimi Shafiei di rumah keluarganya di sini, malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis, Zawawi Ahmad Mughni.

Shuhaimi, 50, meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Kelmarin, Azmin menolak dakwaan Dr Mahathir menggunakannya untuk “mengawal” Anwar dan kesetiaannya kepada Anwar tidak patut dipertikaikan.

Sementara itu, Anwar meminta semua pihak memberi ruang kepada perdana menteri untuk memimpin negara dengan cara tersendiri kerana bukan semua tindakan Dr Mahathir mempunyai agenda politik atau perlu diterjemah dalam konteks politik.

“Itu sangat tidak masuk akal. Dia mempunyai hujah-hujahnya sendiri. Dia memikirkan kepentingan institusi dan negara.

“Dia seharusnya diberikan latitud mentadbir negara, tetapi anda tidak boleh menghalang orang daripada membuat pelbagai tafsiran.”

Katanya, sebarang keraguan berhubung pelantikan Azmin dalam Khazanah perlu dibincangkan secara tertutup dalam PH.

Beliau mengulas keputusan Dr Mahathir melantik Azmin sebagai menteri hal ehwal ekonomi dan ahli lembaga pengarah Khazanah Nasional Bhd.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.