
Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof berkata kematangan PKNS setelah 54 tahun dalam sektor pembangunan menjadikan rakyat Selangor menyedari sumbangannya dalam kemakmuran rakyat dan kestabilan ekonomi.
“Sehingga kini, PKNS berjaya membangunkan sebanyak 11 bandar baru meliputi kawasan seluas 10,000 hektar tanah, dengan lebih 163,000 unit kediaman pelbagai jenis dan 8 kompleks perniagaan dengan jumlah keluasan lantai sebanyak 1.6 juta kaki persegi,” katanya semasa berucap pada majlis sambutan ulang tahun perbadanan itu di sini, semalam.
Beliau berkata sebanyak 84% merupakan pembinaan rumah kos rendah termasuk mampu milik yang dijenamakan sebagai Rumah Selangorku Idaman PKNS serta kos sederhana manakala 16% lagi merupakan kos tinggi.
PKNS, katanya, turut memperuntukkan RM7.6 juta bagi projek Rumah Generasi Felda di Sungai Tengi yang dijangka memulakan pembinaan pada tahun ini di samping merancang pembinaan rumah penjawat awam.
“Perbadanan juga membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 300,000 rakyat Selangor sekali gus membuktikan peranan sebagai penggerak ekonomi selari dengan aspirasi kerajaan negeri,” katanya.
Turut menghadiri majlis sambutan ulang tahun PKNS ke-54 itu ialah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
Beliau berkata kerajaan negeri menghargai PKNS yang sentiasa mendukung aspirasi kerajaan melalui inisiatif Peduli Rakyat.
Katanya, Selangor menyasarkan 20,000 unit Rumah Mampu milik dibina menjelang 2019 dan jumlah unit yang disiapkan pada hari ini telah melebihi sasaran.
“Saya difahamkan lebih banyak unit rumah mampu milik PKNS akan dibina di Selangor Cyber Valley bagi memenuhi keperluan pembeli di negeri ini,” katanya.
Sepanjang 5 dekad berkhidmat, PKNS telah menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Pemaju Perbandaran Terbaik, Anugerah Pemaju Berprestij 2018, Pembangunan Perumahan Bertanah Terbaik 2016, Perumahan Mampu Milik Terbaik 2015 dan 10 Pemaju Terbaik daripada BCI Asia Awards 2015.