Selepas PH sebut ‘kepala bapak’, BN pula mencarut di Dewan Rakyat

Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof berkata perkataan yang digunakan Abdul Rahman Mohamad lebih kesat daripada ‘kepala bapak’. (Gambar Youtube)

KUALA LUMPUR: Sidang Parlimen hari ini sekali lagi kecoh apabila ahli parlimen Barisan Nasional (BN) mencarut di dalam dewan, ia seminggu selepas ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) menyebut “kepala bapak”.

Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) dipercayai mencarut sewaktu membantah tindakan RSN Rayer (PH-Jelutong) ingin mengulangi perkataan kepala bapak.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof yang hilang sabar kemudian meminta Abdul Rahman yang menggunakan perkataan lebih kesat daripada kepala bapak itu supaya memohon maaf.

“Itu saya dengar, itu paling-paling tidak bersopan, tarik balik jika tidak saya suruh keluar. Jangan gunakan perkataan kesat sebegitu dalam dewan yang mulia. Siapa yang guna tadi, sila tarik balik.

“Ini lagi dahsyat dari perkataan kepala bapak. Ini tidak memberi faedah apa-apa kepada dewan yang mulia ini,” katanya sewaktu mempengerusikan sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Rahman bagaimanapun memutuskan untuk meminta maaf dan menarik semula penggunaan perkataan tersebut yang dipercayai diajukan kepada Rayer.

“Oleh kerana kita hendak beri pengajaran kepada dia, tidak mengapa saya tarik balik,” katanya.

Sebelum itu, Rayer bangkit dan mengajukan soalan kepada Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming (PH-Serdang) berkaitan jumlah pelaburan luar di dalam negara.

“Adakah skandal 1MDB ini memberi impak kepada pelaburan pelabur asing yang berhasrat dan memutuskan untuk melabur di dalam negara,” soal Rayer, sewaktu sesi pertanyaan jawab lisan.

Bagaimapaun, tindakan Rayer dilihat tidak bersesuaian oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin (BN-Larut) yang disifatkannya tidak bertanyakan soalan sewajarnya kepada timbalan menteri.

Ia membangkitkan kemarahan Rayer dan berkata: “Jangan sampai saya guna perkataan kepala bapa sekali lagi.”

Nga arah RSN Rayer tarik balik ‘kepala bapak’