Dewan Rakyat kecoh lagi, Bung Moktar sebut ‘f*** you’

Bung Moktar Radin turut menuduh wakil rakyat PH mempunyai hubungan dengan pekerja seks. (Gambar Youtube)

KUALA LUMPUR: Selepas insiden “kepala bapak” dan semalam ahli parlimen Barisan Nasional mencarut, Dewan Rakyat kecoh lagi hari ini gara-gara perkataan “f*** you” dan “main pela***”.

Ia bermula apabila, Willie Mongin (PH-Puncak Borneo) bangkit mencelah ucapan Datuk Bung Mohtar Radin (BN-Kinabatangan) yang berucap di mana harga barang di pasar borong Selayang tidak turun selepas GST dimansuhkan.

“Saya ke Pasar Borang Selayang dan melihat harga barang waktu GST rendah,” kata Bung.

Willie kemudian bangkit mencelah dengan menyebut perkataan “casino”, merujuk kepada Bung ke tempat hiburan berkenaan.

“Bukan pergi casino ke Kinabatangan,” kata Willie.

Bung kemudian meminta kenyataan itu ditarik balik dengan menyifatkan Willie kurang ajar.

“Apa ini biadab, kurang ajar, ini kena tarik balik. Ini biadab yang dipertua, dia kurang ajar dan tak layak duduk sini, samseng, what you want, you nak gaduh dengan saya,” kata Bung.

Su Keong Siong (PH-Kampar) kemudian bangkit mencelah dan berkata, kenyataan Willie sebagai pertanyaan.

“Tanya saja,” katanya.

Bung kemudian bangkit dan berkata: “F*** you! Kau salah orang,” kata Bung tanpa dipastikan ia dituju kepada wakil rakyat mana.

Willie kemudian bangkit dan meminta Datuk Ismail Said (BN-Kuala Krau) mengajar Bung adab bercakap.

“Dalam dewan yang mulia ini kita telah disekolahkan oleh YB Kuala Krau, jadi saya minta YB Kuala Krau juga sekolahkan pihak di sana,” katanya.

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (BN-Beluran) kemudian bangkit membacakan buku perutusan dewan dan mendakwa kenyataan Willie jelas ditujukan kepada seseorang dan ia menjadi punca kekecohan.

Wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) kemudian bangkit dan meminta Bung tidak beremosi.

“Dia (Willie) tanya casino sahaja tak payah marah-marah,” kata wakil rakyat PH.

Bung kemudian sekali lagi bangkit dan menuduh wakil rakyat PH mempunyai hubungan dengan pekerja seks.

“Kau main pela***, bawa perempuan pela***,” kata Bung tanpa menyebut nama wakil takyat yang ditujukan.

Wakil rakyat PH kemudian mendesak timbalan speaker mengambil tindakan terdahap Bung.

Bung kemudian bangkit dan mengeluarkan sekali lagi perkataan kesat “kepala bapak”.

“Tindakan kepala bapak,” kata Bung.

Keadaan semakin tegang apabila wakil rakyat pembangkang dan kerajaan terus bertikam lidah sehingga tamat waktu perbahasan sesi pagi jam 1.00 petang selepas 15 minit berlaku kekecohan.

Timbalan Speaker Datuk Rashid Hasnon menangguhkan dewan.