Najib akan dituduh kerana pengubahan wang haram esok

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang berdepan 3 pertuduhan pecah amanah (CBT) dan 1 pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, dijangka didakwa di mahkamah esok atas 3 pertuduhan pengubahan wang haram.

Menurut sumber daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Najib akan dibawa ke Mahkamah Sesyen di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, untuk menghadapi 3 lagi pertuduhan membabitkan dana SRC mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amlatfa).

“Beliau akan didakwa dengan 3 pertuduhan tambahan,” kata sumber itu.

Seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga 5 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 4 Julai lepas, Najib, 65, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini terhadap 3 pertuduhan CBT dan 1 pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes esok di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Pihak mahkamah juga meletakkan penghadang dan menyediakan kaunter pendaftaran bagi memudahkan media membuat liputan prosiding sebutan kes dan pendakwaan terhadap Najib.