
Felcra, selaku plaintif memfailkan saman fitnah itu pada 6 Jun lepas menerusi Tetuan Omar Ismail Hazman & Co dengan menamakan Sim, yang juga ahli parlimen Bukit Mertajam dan editor akhbar dalam talian itu selaku defendan pertama dan ke-2.
Peguam Norja Abdul Razak, yang mewakili Felcra ketika ditemui pemberita berkata hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes di dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Faizah Jamaludin.
“Mahkamah menetapkan 13 September untuk pengurusan kes selanjutnya dan mahkamah mengarahkan plaintif memasukkan afidavit jawapan kepada pembelaan sebelum atau pada 16 Ogos,” katanya.
Dalam pernyataan tuntutan, Felcra mendakwa defendan ke-2 menerbitkan artikel berjudul “Peserta Felcra rugi RM600 juta setahun akibat urus niaga haram?” di Roketkini.com pada 12 Mac lepas, berdasarkan kenyataan Sim.
Dakwa plaintif, artikel itu membawa maksud syarikatnya menjalankan urus niaga haram dengan pihak ke-3 sehingga menyebabkan kerugian kepada peserta Felcra selain mendakwa Felcra melanggar peraturan menjual minyak sawit dengan kadar perahan minyak sawit (OER) yang jauh lebih rendah daripada kadar minimum yang ditetapkan oleh undang-undang.
Syarikat itu turut mendakwa semua urus niaga yang dijalankan mematuhi peraturan perolehan syarikat dan penerbitan artikel berkenaan menyebabkan reputasi plaintif terjejas selaku organisasi yang ditubuhkan sejak 1966 bagi membangunkan sektor luar bandar.
Oleh itu, Felcra menuntut ganti rugi am dan teladan serta memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan menerbitkan artikel serupa serta menuntut defendan membuat permohonan maaf secara terbuka di dalam akhbar tempatan dan media sosial.