
“(Datuk Seri) Najib (Razak) lupa bahawa GST telah memberi kesan kepada segenap lapisan rakyat Malaysia, terutamanya golongan miskin dan tidak berkemampuan yang tidak dikenakan cukai sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Lim, ini meletakkan bebanan kewangan berterusan ke atas rakyat biasa sehinggakan mereka tiada pilihan untuk mengubah kerajaan buat pertama kalinya selepas 61 tahun.
Malah, rakyat juga sedar apabila tiada perubahan (kerajaan), ini bermakna GST akan terus kekal memberi tekanan dan membebankan ekonomi mereka.
Reaksi itu sebagai menjawab kenyataan berterusan Najib yang mempertahankan GST dengan mendakwa cukai berkenaan hanya dikenakan ke atas golongan kaya dan pemansuhannya hanya menguntungkan golongan kaya dan usahawan.
Bekas perdana menteri dan menteri kewangan itu turut mendakwa kehilangan punca pendapatan daripada golongan kaya serta usahawan besar tidak lagi dapat digunakan untuk membantu golongan miskin daripada kumpulan B40.
Najib turut menyelar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan berkata, beliau berharap “Malaysia Baru itu bukan saja untuk kalangan kaya dan usahawan besar”.
“Kerajaan Malaysia Baru sudah menunaikan janji kita dengan menghapuskan GST. Amaran kerajaan sebelum ini yang menyatakan Malaysia akan jatuh muflis dengan ketiadaan GST juga (terbukti) tidak benar sama sekali.
“Bukan sahaja kerajaan tidak muflis, bahkan bayaran BR1M (kini dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup atau BSH), masih lagi diteruskan meskipun tanpa kewujudan GST.”
BSH disasarkan kepada kumpulan B40.
“(Oleh itu) bagaimana pula Najib boleh mendakwa golongan miskin ini tidak dibantu, sedangkan bayaran terakhir BSH tahun ini akan diagihkan bermula 15 Ogos, iaitu seminggu sebelum Hari Raya Aidiladha? Seramai 4.1 juta rakyat akan menerima BSH yang menelan anggaran kos RM1.6 bilion.”
Menurut Lim, kumpulan B40 terus dibantu apabila kerajaan baru menstabilkan harga petrol yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini dengan hanya membuat apungan berdasarkan harga pasaran.
Tegasnya, walaupun harga minyak antarabangsa meningkat sebanyak 42% daripada Bajet 2018 dengan anggaran AS$52 setong hingga AS$74 setong, harga RON95 serta diesel sebaliknya tetap kekal pada RM2.20 dan RM2.28 seliter, membabitkan subsidi petrol kira-kira 30 sen seliter berjumlah RM3 bilion yang ditanggung kerajaan sehingga akhir 2018.
“Oleh itu, Najib terbukti salah apabila menyatakan GST adalah bagus dan menuduh kerajaan baru ini tidak fokus dalam membantu golongan B40.
“Najib sewajarnya tidak melepaskan kekecewaan beliau atas kekalahan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum lepas kepada PH serta kegagalannya mempertahankan kedudukan sebagai perdana menteri kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Beliau sepatutnya menerima hakikat rakyat sudah menolak kepimpinannya, pelaksanaan GST serta muak dengan skandal rasuah 1MDB yang membabitkan wang rakyat sebanyak RM50 bilion.”