Tiada pengecualian, semua guna sistem e-undi, kata PKR

Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR, Ismail Yusof (kanan) bersama Ketua Sistem dan Data, Alvin Teoh menunjukkan peranti serta aplikasi e-undi yang akan digunakan dalam pemilihan parti akan datang.

PETALING JAYA: PKR akan menempatkan petugas di pusat mengundi untuk membantu warga emas yang tidak tahu menggunakan gajet memilih pemimpin mereka melalui sistem e-undi dalam pemilihan parti.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail merujuk cadangan Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail untuk mempertimbangkan pengecualian kepada ahli warga emas menggunakan kertas undi dalam pemilihan PKR yang akan menggunakan sistem pengundian dalam talian atau e-undi.

“(Cadangan itu) tidak akan dipertimbangkan, semua guna sistem (e-undi).

“Di sana nanti akan ada pegawai bertugas yang akan bantu,” katanya ringkas di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Azan yang juga calon naib presiden PKR bimbang ada ahli warga emas mungkin tidak berpuas hati atau memboikot pemilihan parti kerana tidak tahu menggunakan kaedah baru untuk mengundi.

Awal bulan lalu, Saifuddin dilaporkan berkata, pihaknya sedang menjalankan ujian terhadap sistem e-undi untuk mengenal pasti sebarang masalah sebelum proses pengundian bermula di seluruh negara, bulan ini hingga September.

Katanya, penggunaan sistem e-undi bertujuan melancarkan dan mempercepatkan proses mengundi, manakala proses pengiraan undi akan dilakukan secara automatik dalam sistem dan keputusan penuh akan diumumkan JPP selepas undian selesai di seluruh negara.

PKR dilaporkan menerima lebih 300,000 ahli baru sejak 9 Mei hingga 26 Jun lalu yang menjadikan keseluruhan ahlinya kini melebihi 800,000 orang.