
Afifi Abdul Razak dari Universiti Utara Malaysia berkata ketegangan berhubung pembahagian kerusi itu berisiko merebak ke kawasan lain jika gagal diurus dengan baik, sekali gus menjejaskan peluang Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya akan datang.
Katanya, walaupun isu itu mungkin dapat dikawal secara berhemah di peringkat kepimpinan, kesannya tetap boleh dirasai jentera di bawah, khususnya di kerusi marginal seperti Temerloh.
“Ketegangan seperti ini walaupun diurus secara berdiplomasi di peringkat kepimpinan, boleh menjejaskan semangat jentera akar umbi yang diperlukan untuk memenangi kerusi marginal seperti Temerloh,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas usul PKR Temerloh supaya parti itu bertanding dan menerajui Parlimen Temerloh pada PRU16.
Bagaimanapun, Ketua Amanah Pahang Mohd Fadzli Ramly menegaskan parti itu tetap mahu meletakkan calon untuk terus mempertahankan Temerloh atas tiket PH.
Afifi berkata kerusi Temerloh mempunyai nilai sejarah dan sentimental kepada Amanah kerana pernah dimenangi Anuar Mohd Tahir pada PRU14 atas tiket parti itu.
Menurutnya, Anuar bukan sahaja pemenang kerusi berkenaan, malah setiausaha agung pertama dan pengasas Amanah, menjadikan Temerloh simbol penting kepada parti itu.
Beliau turut berpandangan PH mempunyai peluang merampas semula Temerloh daripada Perikatan Nasional (PN) jika berjaya menyusun strategi bersama Barisan Nasional (BN).
Katanya, berdasarkan keputusan PRU lalu, PN memperoleh 37.4% undi, bermakna majoriti pengundi sebenarnya tidak memilih gabungan itu, namun komponen itu menang susulan perpecahan undi antara PH, BN dan Pejuang.
“Jika BN dan PH bersatu dengan satu calon, jumlah gabungan undi mereka ialah 50,600 undi berbanding PN 30,929, iaitu kelebihan majoriti 19,671 undi.
“Ini peluang yang sangat realistik untuk merampas kerusi ini, dengan syarat tiada perpecahan,” katanya.
Bagaimanapun, Afifi mengakui kerjasama antara PH dan BN di Temerloh bukan sesuatu yang mudah dicapai kerana Umno juga pastinya mahu mencuba nasib, mengambil kira kekuatan sokongan tempatan dimiliki calon mereka sebelum ini, Mohd Sharkar Shamsudin.
“Jika tiga parti, PKR, Amanah dan BN, masing-masing berdegil mempertahankan tuntutan mereka, pertembungan tiga atau empat penjuru akan berulang dan kelebihan akan secara automatik memihak kepada PN,” katanya.
Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia pula melihat langkah PKR Temerloh menuntut kerusi itu lebih kepada cubaan menguji peluang dan bukannya penentu muktamad kerana keputusan akhir di tangan pimpinan pusat PH.
“Tindakan PKR Temerloh itu sedikit sebanyak menjejaskan kerjasama di peringkat akar umbi, namun ia bergantung kepada disiplin parti dan ketegasan pimpinan pusat.
“Sepatutnya perlu ada perundingan dan kesepakatan sebelum mana-mana parti mengumumkan niat bertanding seperti yang berlaku sekarang,” katanya.