Tak timbul soal Nurul Izzah tidak berkemampuan, Kamil ulas rombakan

Tak timbul soal Nurul Izzah tidak berkemampuan, Kamil ulas rombakan

Rombakan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai mencerminkan kelemahan mana-mana pemimpin, kata Ketua Pemuda Kamil Munim.

Ketua Pemuda PKR Kamil Munim berkata perubahan portfolio dibuat mengikut keperluan semasa. (Gambar Bernama)
PADANG RENGAS:
Pertukaran jawatan pengarah pilihan raya PKR sebahagian daripada rombakan strategik bagi memperkukuh jentera parti menjelang pilihan raya akan datang.

Ketua Pemuda Kamil Munim berkata sebarang perubahan portfolio dalam parti politik mahupun kerajaan adalah amalan biasa yang dibuat mengikut keperluan semasa.

Beliau berkata rombakan tugas dalam organisasi tidak seharusnya ditafsirkan sebagai mencerminkan kelemahan mana-mana pemimpin termasuk Nurul Izzah Anwar yang kini menggalas tanggungjawab sebagai timbalan presiden.

“Tidak timbul soal beliau tidak layak atau tidak berkemampuan kerana beliau pernah menjadi pengarah pilihan raya sebelum ini termasuk pada PRU14 dan ketika itu, parti berjaya membentuk kerajaan.

“Ini hanyalah sedikit rombakan strategik yang dilakukan bagi memastikan gerak kerja pilihan raya dapat dijalankan dengan lebih baik dan berkesan,” katanya kepada pemberita di Karnival Belia Madani Padang Rengas.

Mengulas pelantikan Naib Presiden Amirudin Shari sebagai pengarah pilihan raya parti bersama Saifuddin Nasution Ismail, Kamil berkata pemimpin itu berpengalaman luas dalam menguruskan operasi dan organisasi pilihan raya.

“Sebelum ini, beliau bergerak sebagai pengarah operasi pilihan raya, jadi beliau mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang diperlukan… saya yakin beliau mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini dengan baik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.