
Bagaimanapun katanya, beliau masih belum membuat keputusan muktamad dan fokusnya ketika ini adalah untuk memperkukuhkan sokongan akar umbi dan hubungan secara terus dengan rakyat di Parlimen berkenaan.
Bekas Ahli Parlimen Bersatu itu berkata keputusan akan dibuat hanya selepas menilai keadaan politik semasa yang disifatkan sebagai masih bercelaru dan belum stabil.
“Saya yakin dengan kekuatan peribadi serta rekod khidmat kepada rakyat. Saya tak mahu menumpang parti kawan-kawan. Saya nak parti tumpang dengan saya.
“Landskap politik semasa menyaksikan tiada lagi parti yang boleh mendakwa kemenangan hanya bergantung kepada jenama semata-mata,” katanya ketika mengulas sama ada akan bertanding atas tiket mana-mana parti atau Bebas pada PRU16, menurut Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Syed Abu Hussin berkata beliau juga berhasrat meletakkan calon pilihannya sendiri di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Bukit Gantang.
Katanya, DUN Trong, DUN Changkat Jering dan DUN Kuala Sepetang merupakan kawasan strategik dalam menentukan kekuatan politik setempat.
“Kali ini saya mahu ada pasukan sendiri. Orang saya mesti ada di ketiga-tiga DUN ini,” katanya.
Selain itu katanya, beliau melihat bahawa kekuatan sebenar seseorang calon tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada parti, sebaliknya kepada khidmat dan penerimaan rakyat.
“Pengundi kini lebih matang dan menilai berdasarkan prestasi serta keberkesanan wakil rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.