
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Puad Zarkashi percaya PAS akan singkir Bersatu daripada PN, berlatarkan ketegangan antara kedua-dua parti itu baru-baru ini.
“Ada kemungkinan PRU16, berlaku perlawanan antara IPR lawan PN. PAS akan sepak Bersatu daripada PN. Maka lebih baik Bersatu rela hati keluar daripada PN,” katanya di Facebook.
Puad mendakwa Bersatu mahu menjadi dominan dalam PN antara punca hubungannya dengan PAS tegang.
Katanya, Bersatu percaya ia lebih layak pegang jawatan penting seperti perdana menteri, manakala Muhyiddin percaya beliau lebih sesuai memimpin PN kerana faktor parti komponen bukan Melayu.
“Tetapi Bersatu lupa, parti itu banyak menumpang kekuatan PAS,” katanya.
Dalam perbandingan dengan PAS, Puad berkata Bersatu bukan lahir daripada akar umbi, kerana sebahagian besar ahlinya daripada Umno.
Katanya lagi, PAS lahir daripada ideologi, manakala matlamat Bersatu untuk menggantikan Umno, namun gagal.
“Sebab itu Bersatu terus berpecah. Dalam masa singkat ia melahirkan tiga parti serpihan iaitu Pejuang, Muda dan tidak lama lagi parti baru di bawah Hamzah Zainudin (bekas timbalan presiden).
Dalam laporan terdahulu, penganalisis percaya polemik antara PAS dan Bersatu mula mencetuskan keresahan dalam kalangan parti kecil bawah IPR.
“Jika konflik PAS-Bersatu gagal diselesaikan, kemungkinan besar sukar untuk mereka duduk semeja. Ia juga boleh memberi tekanan kepada parti lain untuk memilih rakan,” menurut Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Polemik tersebut berlatarkan amaran Presiden PAS Hadi Awang kepada Bersatu bahawa kesabaran parti itu ‘ada batas’ susulan beberapa tindakan didakwa melanggar semangat setia kawan dalam PN,
Sebanyak 11 parti bawah IPR yang digerakkan Oktober tahun lalu. Gabungan itu dijangka mengadakan konvensyen pada 27 Jun depan.