
Timbalan menteri itu berkata Rina bersama pegawai kanan kementerian sering mengadakan perbincangan bagi mencari penyelesaian dan pendekatan terbaik menangani isu berbangkit.
“Isu ini juga selalu dibincangkan dalam mesyuarat pasca Kabinet Kementerian Pembangunan Luar Bandar,” katanya dalam kenyataan.
“Kami amat mengambil berat terhadap isu pewartaan tanah adat dan hak masyarakat Orang Asli di Gua Musang dan akan bersama-sama meneliti cara penyelesaian terbaik.”
Semalam, FMT melaporkan Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) kecewa Rina tidak menyambut rombongan Orang Asal ke Putrajaya untuk meminta bantuan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu tanah adat.
Kira-kira 200 Orang Asli dari Gua Musang, Kelantan bertemu Dr Mahathir pada 10 Ogos lepas untuk meminta Putrajaya mendesak Kelantan mewartakan tanah adat.
“Jika Rina sibuk dan tidak berada di Putrajaya, apa salahnya jika keluarkan satu kenyataan berhubung perkara tersebut?
“Sehingga kini, tiada sebarang komen daripada Rina membela nasib Orang Asli,” kata Presiden Yusri Ahon.
Sivarasa hari ini menjelaskan menteri turut meluangkan masa untuk berjumpa ahli rombongan daripada suku Temiar di Perdana Putra semasa perjumpangan dengan perdana menteri.
Beliau juga berkongsi pautan Facebook rasmi Rina yang memuatnaik gambar menteri bersama rombongan.
Sayangnya, Sivarasa timbalan menteri sahaja, kata NGO Orang Asal