
Pada awal pagi Jumaat, Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Manila (MIAA) yang mengendalikan Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila, dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina (CAAP) mengeluarkan kenyataan bersama.
Agensi berita China Xinhua melaporkan kenyataan pihak berkuasa menyebut pesawat jenis Boeing 737-800 itu terlibat dalam insiden “terkeluar dari landasan” pada 11.55 malam waktu tempatan pada Khamis ketika mendarat.
Dalam kes membabitkan penerbangan MF8667 dari syarikat Xiamen Airlines, pihak berkuasa berkata, ia terkeluar dari landasan dan terbabas ke kawasan berumput di lapangan terbang antarabangsa Manila selepas “satu pendekatan yang terlepas” susulan “hujan lebat”.
Pihak berkuasa mengesahkan semua penumpang dan kru pesawat Xiamen Airlines selamat.
Dalam sidang akhbar pada pagi Jumaat, MIAA dan CAAP berkata, semua penumpang dan kru ditempatkan di sebuah hotel.
Pengurus Besar MIAA, Ed Monreal, berkata terdapat keperluan untuk membersihkan landasan itu daripada serpihan enjin dan gear pendaratan pesawat terbabit yang rosak.
Jurucakap CAAP, Eric Apolonio, berkata landasan yang terjejas ditutup buat sementara waktu sehingga 4 petang Jumaat.
Sejumlah 12 penerbangan dibatalkan pada pagi Jumaat susulan insiden itu.
Beliau berkata, pesawat itu masih berada di kawasan berumput berhampiran landasan utama Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino dan akan kekal di situ sehingga siasatan selesai.