
Ketua Kampung Pos Bihai, Awin Pedik menyifatkan tindakan sekumpulan kecil Orang Asli mendirikan sekatan di Gua Musang bagi menghalang aktiviti pertanian di tanah adat mereka, memalukan dan melanggar undang-undang.
Beliau menganggarkan kumpulan yang menyokong dan mendirikan sekatan itu kurang 10% daripada keseluruhan kira-kira 15,000 masyarakat Orang Asli di Gua Musang.
“Yang buat sekatan ini adalah segelintir Orang Asli saja terdiri daripada generasi muda yang belakang mereka ada sokongan NGO yang ada kepentingan, tapi saya tidak tahu apa kepentingannya,” katanya selepas menyerahkan memorandum kepada pegawai perdana menteri di Perdana Putra, hari ini.
“Kami sudah cakap banyak kali dengan mereka berhenti buat ‘blockade’ sebab itu bukan cara yang betul, tapi mereka degil tak dengar, mereka dengar cakap NGO.
“Kami tidak mahu ada lagi sekatan, kami nak kehidupan kami kembali macam biasa dan pihak yang melakukan aktiviti perladangan bebas melakukan kerja mereka, selagi tidak bertentangan dengan undang-undang.”
Pada 10 Ogos lalu, kira-kira 200 Orang Asli dari Gua Musang berkumpul di Putrajaya meminta bantuan Dr Mahathir mewartakan tanah adat mereka, selepas kerajaan Kelantan gagal berbuat demikian.
Pengerusi Belia Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Nik Mohd Syafiq Dendi Abdullah dilaporkan berkata, kerajaan negeri tidak mengambil sebarang tindakan menyelesaikan isu tanah adat Orang Asli, selepas pertemuan pada 2013.
Dr Mahathir kemudiannya berjanji akan berbincang dengan kerajaan Kelantan untuk mencari penyelesaian terhadap isu pencerobohan tanah adat Orang Asli di Gua Musang.
Awin berkata, pihaknya tidak memihak kepada syarikat perladangan atau kumpulan Orang Asli tertentu, sebaliknya mereka menuntut keamanan dan mengelakkan ketegangan antara sekumpulan kecil Orang Asli serta pihak luar, termasuk pengusaha ladang.
“Saya secara peribadi merayu kepada NGO berhenti mengganggu Orang Asli, biarkan tok batin menyelesaikan isu dan mengemukakan masalah kepada kerajaan menggunakan saluran betul.”
Tiada istilah tanah adat
Awin berkata, Kelantan tiada tanah adat seperti dituntut segelintir Orang Asli, yang wujud ialah tanah saka atau pusaka yang ditinggalkan nenek moyang.
“Kumpulan itu kata nak minta tanah adat, tiada tanah adat di Kelantan. Dalam budaya kami, hanya ada tanah saka, tanah warisan.
“Tanah adat di Sabah dan Sarawak sahaja ada, tiada di Semenanjung,” katanya sambil menambah tanah saka ialah kawasan hutan yang diusahakan nenek moyang mereka dengan aktiviti pertanian dan diteruskan generasi sekarang.
Pada 11 Ogos lalu, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan yang dilantik sebagai peguam kerajaan Kelantan untuk menyelesaikan isu itu berkata, undang-undang tanah Kelantan tidak mempunyai istilah tanah adat seperti yang dituntut Orang Asli dari Gua Musang.
“Di Kelantan tidak wujud tanah adat untuk Orang Asli, tidak pernah ada dalam undang-undang tanah Kelantan dan tak pernah digazetkan (tanah adat Orang Asli).
“Masalah sekarang (ialah) kawasan kerajaan negeri yang menjadi kawasan balak diberi kebenaran dan permit pembalakan oleh Jabatan Perhutanan,” katanya sambil menambah tanah adat yang dituntut itu ialah milik “mutlak” kerajaan Kelantan.
Guna cara betul tuntut hak
Awin berkata, tidak salah kumpulan Orang Asli itu mahu mendirikan sekatan untuk menuntut hak mereka, tetapi ia perlu dilakukan melalui saluran dan cara betul.
“Yang buat demo muka sama, kumpulan sama, tujuannya bagus tapi cara tak betul dalam menuntut hak.
“Tok batin kita ada lebih 70 orang dan hanya 2, 3 orang sahaja bermasalah bersama kumpulan buat ‘blockade’. Yang buat itu ramai orang muda, mereka bertindak emosi, tak tahu apa-apa, bila bercakap nampak bagus, mereka guna media untuk tujuan mensensaikan berita.”
Beliau yang menjadi tok batin lebih 20 tahun, bimbang pihak berkuasa tidak mengambil tindakan mengawal kumpulan mendirikan sekatan itu.
Awin tidak menolak kemungkinan Orang Asli itu dibayar untuk mendirikan sekatan.
“Mungkin mereka dibayar…makanan NGO bagi, minyak petrol mereka bagi.
“Isteri mereka (kumpulan bina sekatan) bekerja dan dapatkan wang daripada hasil projek ladang, tapi suami-suami ini buat ‘blockade’ lawan.
“Makan guna duit isteri yang buat kerja di ladang, ini salah. Sepatutnya suami yang bagi bini makan, ini terbalik dah,” katanya sambil menambah aktiviti perladangan itu tidak mengancam kedudukan Orang Asli.
Terdahulu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun berjanji akan berbincang dengan kerajaan Kelantan untuk mewartakan tanah adat Orang Asli di seluruh negara bagi menjamin hak golongan itu terhadap pemilikan tanah mereka.
Katanya, langkah itu akan melibatkan pindaan undang-undang sedia ada, sebelum kawasan berstatus tanah adat dapat diwartakan atas nama Orang Asli.