Aidiladha disambut dalam suasana aman

Dr Mahathir Mohamad (tujuh dari kanan) menunaikan solat sunat Aidiladha yang diimamkan Imam Besar Masjid Negara, Syeikh Ismail Muhammad di Masjid Negara, hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Umat Islam di seluruh negara hari ini menyambut Aidiladha dalam suasana penuh aman dan tenteram, meskipun baru melalui peralihan kerajaan selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14.

Hari raya korban yang memuliakan kesediaan Nabi Ibrahim untuk mengorbankan anaknya kepada Allah, selain menandakan sempurnanya ibadah haji disambut dengan penuh kesederhanaan, dilengkapi rasa syukur dan semangat pengorbanan.

Malah, cuaca yang cerah di kebanyakan negeri turut membolehkan umat Islam menunaikan solat sunat hari raya dalam keadaan selesa, diikuti ibadah korban yang dilaksanakan secara bergotong-royong sama ada di peringkat masjid, kampung mahupun daerah.

Di KELANTAN, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama ribuan rakyat di Masjid Al-Ismaili di Tumpat dan baginda diiringi Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Di Kota Bharu, Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama rakyat di Masjid Muhammadi sambil diiringi Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Abdul Aziz, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan barisan exco negeri.

Di KUALA LUMPUR, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara bersama lebih 10,000 umat Islam.

Beliau diiringi 2 anaknya, iaitu Tan Sri Mokhzani dan Datuk Seri Mukhriz disambut Imam Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Syaikh Ismail dalam khutbah Aidiladha bertajuk “Aidiladha: Manifestasi Penyerahan Erti Sebuah Pengorbanan” menyeru umat Islam bertawakal kepada Allah dan menjadi masyarakat berkasih sayang.

“Orang yang beriman pasti akan diuji oleh Allah dalam bentuk musibah dan nikmat bagi mengukur kebenaran dan kekuatan iman, maka dengan itu umat Islam harus berserah dan bergantung hanya kepada Allah yang menetapkan segala ketentuan dan sentiasa berusaha membangun dan memajukan diri.”

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula bersama penduduk di kawasan Parlimennya menunaikan solat sunat Aidiladha di Surau Al-Falah, Taman Cempaka, Pandan, dekat sini.

Di SELANGOR, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama umat Islam di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong.

Turut mengiringi baginda, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali, Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad dan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid.

Baginda dan Tengku Permaisuri kemudian berkenan bersalaman dengan jemaah yang hadir.

Di KEDAH, Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim turut berkenan berangkat ke Masjid Zahir menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 1,000 umat Islam.

Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Adly Zahari menyertai lebih kurang 5,000 muslimin dan muslimat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Azim di Bukit Palah, yang diimamkan Imam Besar Masjid Al Azim, Datuk Mohammad Hashim.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof dan Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md Akin. Selepas solat sunat Aidiladha, Khalil dan tetamu mengambil kesempatan bersalaman dengan jemaah di masjid berkenaan.