Polis ambil keterangan saya semalam, kata Guan Eng

PETALING JAYA: Menteri Kewangan Lim Guan Eng memaklumkan dia memberi keterangan kepada polis dalam siasatan kes cukai lebihan bayar sebanyak RM16.046 bilion yang gagal dibayar balik kepada pembayar cukai sejak lebih 6 tahun lepas, semalam.

Beliau dalam kenyataanya berkata kes sedang disiasat sebagai pecah amanah bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Menurut Lim, jumlah baki tunggakan tersebut berlaku disebabkan oleh kekurangan penyaluran pindahan hasil cukai langsung yang dikutip ke dalam akaun amanah Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC).

“Baki yang sedia ada dalam TBBC pada 31 Mei 2018 hanya RM1.486 bilion berdasarkan rekod Jabatan Akauntan Negara.

“Amaun ini adalah jauh lebih rendah daripada keperluan jumlah bayaran balik kredit cukai sebanyak RM16.046 bilion yang sepatutnya dibayar,” katanya.

Guan Eng juga berkata ada kekurangan RM14.56 bilion setakat 31 Mei 2018 sehingga menyebabkan 1,653,786 pembayar cukai belum menerima bayaran balik.

“Adalah jelas RM14.56 bilion yang tidak dipindahkan daripada Kumpulan Wang Disatukan kepada TBBC telahpun dianggap atau diiktiraf sebagai hasil kerajaan oleh kerajaan lama.”

Justeru, hasil kerajaan persekutuan yang telah dilaporkan oleh kerajaan terdahulu adalah tidak tepat dan terlebih lapor, katanya.

Lim berkata tunggakan tersebut berlaku apabila Jawatankuasa Pengurusan Wang Tunai Kementerian Kewangan yang bermesyuarat secara bulanan dan dipengerusikan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar tidak memindahkan peruntukan yang mencukupi kepada TBBC seperti yang dipohon Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Ketua pengarah LHDN ada tulis surat secara rasmi kepada Irwan pada 2016 untuk meminta lebih banyak wang dipindahkan kepada TBBC tetapi tidak diambil peduli oleh Irwan.”

“Jadi siapa sebenarnya yang bertanggungjawab, adakah Irwan atau bekas menteri kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak atau kedua-duanya?” katanya lagi.

Lim sebelum ini mendedahkan LHDN tidak memulangkan cukai pendapatan dan cukai keuntungan harta tanah terlebih bayar sebanyak RM16.046 bilion kepada 1,653,786 syarikat, individu, persatuan serta yayasan sehingga 31 Mei lalu.