Saya guna Mercedes Benz 20 tahun lalu, Zuraida nafi rasuah

Saya guna Mercedes Benz 20 tahun lalu, Zuraida nafi rasuah

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu hairan kenapa ada pihak dalam PKR hanya mempertikaikan beliau menggunakan kereta mewah, selepas 20 tahun menceburi politik dan memandu Mercedes Benz.

Free Malaysia Today
Zuraida Kamaruddin menyangkal dakwaan beliau tidak membela nasib wanita, sebaliknya menjadi ‘pak turut’ dalam PKR.
PETALING JAYA:
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menepis dakwaan terbabit dalam rasuah selepas dilantik ke Kabinet, susulan sesetengah pihak dalam PKR yang mempersoalkan kereta Mercedes Benz yang dimilikinya.

“Dahulu lagi, tidak ramai wanita yang mahu sertai parti. Dahulu lagi saya terpaksa ambil setiap ahli jawatankuasa di rumah mereka untuk bermesyuarat, selesai mesyuarat saya yang akan hantar mereka pulang.

“Jam 3 pagi baru saya tiba di rumah. 20 tahun dahulu lagi saya sudah bawa Mercedes Benz, ketika itu tidak ada orang yang tanya dari mana saya dapat duit.

“Sekarang ini, ada yang tanya dan persoalkan dari mana saya dapat duit,” katanya berucap di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Perdana Selangor, di Dewan Sivik MBPJ, hari ini.

Zuraida yang juga ahli Parlimen Ampang, melepaskan jawatan ketua Wanita PKR untuk bertanding jawatan naib presiden pada pemilihan parti tahun ini.

Zuraida turut menyangkal dakwaan beliau tidak membela nasib wanita, sebaliknya menjadi “pak turut” dalam parti.

“Kalau kata saya jadi pak turut, tidaklah saya lawan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin dan juga Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.