
Bagaimanapun, katanya, perkara ini bergantung kepada calon yang akan dipilih oleh PKR pada PRU akan datang, jika bukan Lee.
Ong menjangkakan PKR akan menggugurkan Lee pada PRU16, memandangkan Ahli Parlimen penggal pertama itu dilihat sebagai sekutu bekas timbalan presiden parti Rafizi Ramli, yang semalam mengumumkan akan mengambil alih Bersama.
Bekas Ahli Parlimen Bangi itu berkata Lee, yang diundinya pada PRU 2022, telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik setakat ini, lantang bersuara mengenai isu-isu berbangkit serta sentiasa turun padang.
“Jika Lee memilih untuk bertanding di bawah Bersama, dan jika PKR memilih calon yang kurang dikenali, beliau ada peluang yang baik untuk menang, walaupun dalam pertembungan pelbagai penjuru menentang calon Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.
“Secara peribadi, saya lihat Lee sebagai calon Ahli Parlimen yang meyakinkan untuk Petaling Jaya (pada PRU16). Saya rasa saya cukup kenali Petaling Jaya untuk menyatakan bahawa ramai pengundi lain, tanpa mengira kaum, turut akan rasa begitu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Kerjaya Lee sebagai wakil rakyat bermula pada 2013, sebagai Adun Semambu di Pahang hingga 2022. Beliau kemudiannya dipilih sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya pada 2022.
Pada pemilihan PKR tahun lepas, beliau gagal merebut jawatan ketua cabang Petaling Jaya, namun dipilih menyertai Majlis Pimpinan Pusat parti.
Rafizi dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan pada sidang media semalam bahawa mereka akan mengambil alih Bersama untuk merangka hala tuju politik baharu bagi diri mereka dan para penyokong. Lee turut hadir pada sidang media tersebut.
Selain Lee, Ahli Parlimen PKR lain, iaitu Rodziah Ismail (Ampang), Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Wong Chen (Subang), S Kesavan (Sungai Siput) dan Zahir Hassan (Wangsa Maju), turut serta dalam sesi bergambar bersama kedua-dua bekas menteri itu.