‘Madu saya anugerah Allah,’ kata isteri pertama

Sumayyah yang bertugas sebagai pensyarah berkata, hidup bermadu membolehkan isteri berpakat dalam urusan tugas mereka.

KUALA LUMPUR: Tidak semua wanita atau isteri inginkan kehidupan bermadu atau berpoligami dengan wanita lain, bagaimanapun bagi Sumayyah Sulaiman, 44, beliau bersyukur dan menyifatkan madunya antara anugerah Allah terbesar dalam hidupnya.

Sumayyah yang merupakan seorang isteri pertama berkata, poligami tidak hanya membawa kebaikan kepada suami, tetapi turut membawa keuntungan dan kebaikan kepada para isteri.

“Ia adalah perkongsian tanggungjawab. Tugas keluarga boleh dilaksanakan bersama-sama dengan syarat bersatu hati dan bermuafakat,” katanya merupakan salah seorang ahli panel dalam satu majlis forum bertajuk “Mengapa Saya Memilih Suami Orang” yang diadakan di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Majlis selama 2 jam anjuran Pertubuhan Keluarga Harmoni (Pakar) menampilkan 3 ahli panel lain iaitu pengarah sebuah syarikat farmasi Haryani Ithnen; peguam Sharifah Mohd Jahaya dan penceramah bebas Nurul Adni Adnan.

Sumayyah yang bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Bahasa Arab, Institut Pendidikan Guru berkata hidup bermadu atau berpoligami juga membolehkan isteri berpakat dalam pekerjaan mereka.

“Misal kata suami ada urusan ‘outstation’, jadi salah seorang isteri boleh mengiringi dan kita tak risau sebab suami kita ada orang yang teman,” katanya sambil menambah beliau hidup serumah bersama madu suaminya.

Beliau yang hidup berpoligami selama 12 tahun berkata, hidup bermadu juga merupakan anugerah kebesaran daripada Allah.

“Saya dah berpoligami 12 tahun, pada tahun ke-11 perkahwinan, madu saya baru dikurniakan zuriatnya yang pertama. Alhamdulillah saya berpeluang jaga madu ketika beliau dalam pantang.

“Satu lagi kebesaran ialah Allah takdirkan saya pun mengandung juga lepas itu dan dia pula jaga saya dalam pantang,” katanya.

Menurut Sumayyah, beliau juga merupakan individu yang melamar madunya untuk suami dan menasihatkan agar mana-mana wanita yang hidup berpoligami untuk “mengorbankan” sedikit keistimewaan yang ada di dunia ini.

“Ini bagi mendapat keistimewaan yang lebih besar di akhirat yang kekal abadi,” katanya sambil menambah bahawa hak yang ada bukanlah untuk dipertahankan sebaliknya dikorbankan.

Kasih sayang tidak akan berkurang dengan poligami

Sementara itu, bagi Nurul Adni Adnan, 34, kasih sayang seorang suami tidak akan berkurang jika berpoligami.

Beliau yang merupakan isteri kedua turut menolak pendapat dengan berpoligami, kasih sayang seseorang wanita kepada suami akan berkurang.

“Tidak, kasih sayang tidak sesekali akan berkurang dengan poligami. Kasih sayang ini sumbernya daripada Tuhan.

“Semakin dekat diri seseorang insan itu dengan Tuhan, baik suami atau isteri, semakin banyak kasih sayang yang akan diterimanya,” kata beliau sambil merujuk satu ayat al-Quran dalam Surah Maryam.

Nurul turut menasihatkan suami yang ingin berpoligami supaya memperbaiki hubungan dengan isteri terlebih dahulu sebelum membuat keputusan itu.

“Baiki hubungan dengan isteri sebab kekuatan isteri terletak pada hubungannya dengan suami. Itu sumber keselamatannya,” kata beliau.

Menurutnya, seseorang suami juga seharusnya tidak menunjukkan-nunjuk atau terlalu fokus kepada wanita yang mahu diikahwininya dan mengabaikan isteri lama.

“Jangan fokus bercinta dengan bakal siteri. Cuba kawal dan jangan tunjuk sangat dengan isteri sedia ada, ‘bergayut’ dengan fon dan sorok-sorok dalam bilik air. Memang ‘terbakarlah’ isteri,” tegasnya.