Polis ‘periksa’ rumah ibu Najib berdasarkan maklumat siasatan

Polis ‘periksa’ rumah ibu Najib berdasarkan maklumat siasatan

Noor Rashid Ibrahim berkata pemeriksaan semalam sebahagian proses siasatan kes 1MDB dan yang berkaitan.

KUALA LUMPUR:
Pemeriksaan polis yang dilakukan di kediaman keluarga Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Eaton semalam semasa bekas perdana menteri itu menghadapi pertuduhan di mahkamah sebahagian proses siasatan kes 1MDB dan yang berkaitan.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata “kita buat pemeriksaan berdasarkan maklumat daripada siasatan yang dibuat sahaja”.

“Pemeriksaan dijalankan dengan baik dan mereka yang berada di kediaman itu juga memberi kerjasama yang baik kepada polis,” katanya selepas merasmikan majlis penutupan Kejohanan Futsal Piala Ketua Polis Negara hari ini.

Noor Rashid mengesahkan tiada sebarang rampasan dilakukan sepanjang pemeriksaan dilakukan di kediaman itu bermula kira-kira pukul 2.00 petang semalam.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada isteri ahli Parlimen Pekan itu Datin Seri Rosmah Mansor akan ditahan dan seterusnya didakwa di mahkamah, Noor Rashid berkata siasatan masih dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“SPRM yang jalankan siasatan. Setakat ini, saya belum boleh komen lagi,” katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki semalam memaklumkan pihaknya tidak menolak kemungkinan Rosmah akan turut didakwa namun belum diketahui bila tindakan itu akan diambil.

Media sebelum ini melaporkan Rosmah dijangka berdepan lebih 20 pertuduhan jenayah, kebanyakannya membabitkan pengubahan wang haram.

Semalam, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 25 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan sejumlah RM2.282 bilion.

Mahkamah membenarkan Najib diikat jamin sebanyak RM3.5 juta yang akan dibayar secara berperingkat mulai hari ini sehingga 28 September.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.