
Pengerusi Abdul Rashid Yob berkata, banyak aduan diterima daripada pengguna apabila mereka membeli BPT di pasar raya yang didakwa cepat rosak serta nasi dimasak menjadi lembik.

Dakwanya, keadaan itu berlaku disebabkan kualitinya tidak menepati standard kerana campuran dengan beras import gred rendah.
“Walaupun harganya murah pengguna tetap memilih berdasarkan mutu.
“Campuran beras tempatan dan import ini kadang-kala melebihi nisbah tertentu, menyebabkan kualiti nasi menurun dan mengurangkan minat pembeli,” katanya kepada FMT.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan menilai semula kuantiti dan kualiti beras import, termasuk memastikan jumlahnya tidak melebihi had ditetapkan iaitu 30% daripada bekalan beras negara.
Rashid bimbang lambakan beras import boleh menjejaskan kualiti BPT, seterusnya mewujudkan campuran beras bermutu rendah.
Isnin lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu mendedahkan sambutan pembelian BPT dalam kalangan pengguna kekal rendah, iaitu sekitar 10 hingga 15% sahaja di sebalik usaha kerajaan meningkatkan bekalannya susulan wujud desakan berbuat demikian.
Katanya, antara faktor mempengaruhi corak pembelian pengguna adalah penurunan harga beras import yang mengakibatkan rakyat memilih beras pada harga lebih sederhana.

Bagaimanapun, Pengerusi Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM), Mohamad Termizi Yop, pula menegaskan pengeluaran beras tempatan kini mencecah 70%, manakala import hanya sekitar 30%.
Beliau mendakwa, isu sebenar adalah manipulasi pihak tertentu yang menjadikan beras tempatan sebagai beras import bagi mengelakkan kerugian, terutamanya apabila harga BPT ditetapkan RM26 sekampit sedangkan kos padi mencapai RM1,500 setiap tan metrik.
“Apabila harga siling tidak dinaikkan, pengilang terpaksa menanggung kerugian.
“Langkah menjadikan beras tempatan seolah-olah beras import membantu mengurangkan risiko ini. Jika tidak, kilang dan pembekal berisiko gulung tikar,” katanya.
Sehubungan itu beliau mencadangkan kerajaan menaikkan harga siling BPT kepada RM36 sekampit bagi menampung kos operasi industri dan mengelakkan manipulasi.