Mat Sabu gesa Pemuda Amanah jangan putus asa

Mat Sabu gesa Pemuda Amanah jangan putus asa

Presiden Mohamad Sabu menggesa Pemuda Amanah supaya bersabar, di sebalik dapatan menunjukkan sokongan pengundi Melayu kepada parti itu sekitar 1% hingga 5% sahaja.

Presiden Mohamad Sabu gesa Pemuda Amanah bahawa musibah sebahagian daripada perjuangan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Presiden Amanah menggesa sayap Pemuda supaya bersabar dan jangan berputus asa ketika parti itu bersiap sedia menghadapi PRU16.

Dalam ucapannya kepada ahli sempena majlis Amanat Ketua Pemuda Amanah, Mohamad Sabu berkongsi pengalaman berkempen untuk PAS di selatan tanahair ketika tidak ada sambutan untuk parti itu.

“Bila kita berada dalam perjuangan, maka tidak ada sikap merajuk, tidak ada sikap putus asa. Kita mahu berjuang terutama sekali kita yang meletakkan Islam sebagai dasar,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pemuda Hasbie Muda dalam ucapannya mendedahkan dapatan bahawa sokongan pengundi Melayu kepada Amanah sekitar 1% hingga 5% sahaja — realiti yang patut membuka mata mereka menjelang PRU16.

Mohamad berpesan kepada Pemuda bahawa persepsi mempunyai pengaruh besar ke atas pengundi Melayu, mengatakan isu agama mendorong ramai pengundi Islam menolak Pakatan Harapan pada pilihan raya lalu.

“Misalnya di Kelantan, kamu ceritalah, buatlah TikTok buka paip keluar ‘teh ais’, mereka kata tak apa yang pentingnya ‘Islam selamat’,” katanya.

Mohamad memberitahu hadirin bahawa perkara itu harus menjadi pengajaran kepada Amanah. “Amanah mempertahankan Islam mesti ditonjolkan kepada masyarakat. Ini yang membolehkan kita menang pilihan raya akan datang.”

Mohamad turut mengingatkan ahli Pemuda bahawa ramai pemimpin Amanah mencuba nasib berulang kali sebelum akhirnya terpilih sebagai wakil rakyat.

“Jangan kita menyalahkan orang lain bila kita ditimpa sesuatu musibah. Kita kena menganggap musibah itu sebahagian daripada perjuangan,” katanya.

Pada PRU15, Amanah bertanding di 54 kawasan Parlimen namun hanya menang lapan, berbanding 11 dimenangi pada PRU14.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.