Jho Low baliklah ke Malaysia, gesa SPRM

Jho Low baliklah ke Malaysia, gesa SPRM

Jho Low dan Nik Faisal sangat dikehendaki SPRM dan polis untuk membantu siasatan kes 1MDB.

SPRM menyedari keberadaan Jho Low di beberapa lokasi, tetapi mahu merahsiakannya buat masa ini. (Gambar Bloomberg)
PETALING JAYA:
Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa bekas penasihat khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau Jho Low pulang ke Malaysia bagi membantu pihak berkuasa menyiasat kes dana pelaburan kerajaan itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Seri Azam Baki berkata selain Jho Low, pihak berkuasa juga amat menghendaki pengarah urusan SRC International Sdn Bhd (SRC) Nik Faisal Ariff Kamil Nik Othman bagi membantu siasatan.

“Jadi satu perkara umum yang diketahui ialah Jho Low dan nama lain seperti Nik Faisal. Mereka ini dikehendaki SPRM dan polis untuk bantu siasatan.

“Waran tangkap terhadap mereka telah dikeluarkan. ‘Red alert Interpol’ juga telah dikeluarkan. Ini membawa maksud mereka amat dikehendaki kedua-dua badan penguatkuasa iaitu SPRM dan polis,” katanya dalam temu bual bersama Bernama Radio hari ini.

Pada 7 Jun lalu, SPRM mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low bagi membantu siasatan ke atas syarikat pelaburan strategik negara itu.

Waran tangkap turut dikeluarkan ke atas Nik Faisal.

Dengan pengeluaran waran tangkap itu, mereka berdua diklasifikasikan sebagai “individu amat dikehendaki”.

Azam berkata SPRM setakat ini mengetahui Jho Low kemungkinan berada di beberapa tempat, tetapi tidak boleh mendedahkannya.

Katanya, SPRM melakukan pelbagai usaha untuk mengesan Jho Low, antaranya dengan meminta bantuan Interpol.

“Kita agak mereka berada di 2 atau 3 tempat.

“Tetapi biarlah saya simpan dulu rahsia ini dan terbaiknya mereka datang untuk serah diri,” katanya.

Azam berkata SPRM juga menjalin kerjasama dengan 3 buah negara asing iaitu Singapura, Switzerland dan Amerika Syarikat, selain dengan Pejabat Peguam Negara bagi menyelaraskan siasatan kes 1MDB.

“AS ada 2 agensi iaitu Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman (DOJ). Baru-baru ini pada 18 hingga 20 September lalu, satu mesyuarat khas bersama telah diadakan di Putrajaya.

“Kita mesyuarat untuk selaraskan siasatan. Siasatan perlu diselaraskan kerana keterangan yang ada melibatkan beberapa negara. Seperti diumumkan peguam negara, kerjasama adalah baik dan berjalan secara progresif,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.