Kelab Bangsar Utama nafi anjur sambutan Hari Asyura

Kelab Bangsar Utama nafi anjur sambutan Hari Asyura

Penyelaras Kelab Bangsar Utama, Abdul Hadi Khalid berkata perkakasan yang dipaparkan dalam gambar tular itu daripada perbincangan mengenai Awal Muharram.

Gambar tular perkakasan yang digunakan dalam satu program di Kelab Bangsar Utama.
PETALING JAYA:
Kelab Bangsar Utama (KBU) menafikan badan bukan kerajaan itu menganjurkan acara sambutan Hari Asyura yang sering dikaitkan dengan komuniti Syiah, selepas tular gambar perkakasan dengan kaligrafi Arab di media sosial.

Penyelaras Abdul Hadi Khalid berkata gambar itu memaparkan perkakasan yang digunakan dalam acara perbincangan mengenai Awal Muharram pada 17 September lepas.

“Gambar itu acara diskusi pada Isnin lalu dan bukan pada 10 Muharram,” katanya, mengulas gambar yang tersebar di media sosial yang dikaitkan dengan penganjuran majlis Syiah.

Awal Muharram, atau hari bermulanya tahun baharu dalam kalendar Islam, jatuh pada 10 September lepas. Hari ke-10 bulan Muharram sepatutnya jatuh pada 20 September.

Hari ke-10 bulan Muharram juga dipanggil sebagai Hari Asyura sering dikaitkan dengan pengikut ajaran Syiah walaupun ia turut diperingati oleh pengikut ajaran Sunnah Wal Jamaah. Ia dikaitkan dengan peristiwa pembunuhan cucu Nabi Muhammad, Husayn Ali, di tangan tentera Muawiyah, dan peristiwa Nabi Musa terselamat daripada Firaun.

Menurut Hadi, acara yang berlangsung pada 8.30 malam itu berkisar mengenai taqwa, pengorbanan dan kehidupan sebagai manusia. Ia turut menyentuh mengenai tragedi pembunuhan Husayn, peristiwa penting dalam sejarah Islam.

Beliau bagaimanapun akui penganjur acara itu didakwa seorang Syiah, tetapi KBU mempunyai polisi penganjuran program yang terbuka.

“Dia dikatakan seorang Syiah dari mazhab Ja’fari,” katanya. “Kami tak ada masalah selagi ceramah dan forum itu tidak ke arah kebencian dan tidak melanggar hak asasi manusia, tidak memudaratkan dan mengikuti lunas-lunas demokrasi,” katanya.

Hadi tidak mahu menamakan penganjur dan penceramah acara itu, dan menambah perbincangan itu dihadiri oleh lebih 20 orang peserta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.