
Sultan Johor berkata surat rasmi kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan mesti menggunakan Bahasa Melayu.
“Apa sahaja urusan surat menyurat membabitkan kerajaan negeri atau Ahli Majlis PBT semuanya mesti dalam Bahasa Melayu kerana ia menggunakan kepala surat rasmi kerajaan negeri walaupun ia berkaitan pemakluman mesyuarat,” katanya di Facebook hari ini.
Sultan Ibrahim berkata surat rasmi di Johor tidak pernah ditulis dalam Mandarin.
Sultan Johor merujuk kepada surat rasmi ahli majlis itu memaklumkan mengenai satu majlis dialog. Sultan Ibrahim mahu semua pihak menghormati penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perantaraan bagi semua urusan rasmi.
“Saya sarankan kepada ahli majlis, jika tidak tahu buat kerja baik letak jawatan sahaja. Ini amaran saya. Jangan pisang berbuah 2 kali,” katanya.