Masa depan Umno bakal ditentukan di PAU 2018

Masa depan Umno bakal ditentukan di PAU 2018

Penganalisis berkata perhimpunan kali ini bakal mengupas hala tuju parti sebagai pembangkang menuju PRU15 dan agenda perubahan.

PETALING JAYA:
Dua penganalisis berpandangan masa depan Umno bakal ditentukan di perhimpunan agung (PAU) yang bermula esok, apabila perwakilan dari seluruh negara berhimpun untuk menentukan hala tuju parti Melayu itu bagi tempoh 5 tahun dari sekarang.

Prof Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata PAU 2018 semestinya mendesak satu pelan tindakan selepas tindakan keluar parti beberapa pemimpin tertinggi Umno baru-baru ini.

“Mereka akan membincangkan sejauh mana untuk pastikan tidak ada lagi orang keluar parti, dan saya jangka Umno akan bentangkan agenda perubahan dalam parti tentang apa yang mereka mahu lakukan sebagai pembangkang pada masa 4 ke 5 tahun ini sebelum PRU15.

“Apa yang mereka harus buat, bagaimana peranan mereka dan apa agenda Umno untuk kembali berkuasa, itu semua akan dibincangkan pada PAU ini,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, perhimpunan ini juga bakal memperlihatkan Umno buat pertama kalinya membincangkan isu kerjasama Umno-PAS yang terhenti selepas 1970-an.

“Ini juga akan jadi topik sampingan, namun tidak akan menjadi topik utama,” katanya.

PAU akan berlangsung selama 3 hari bermula esok di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik Prof Azmi Hasan berkata PAU kali ini lebih mencabar dengan adanya isu pemimpin keluar parti dan skandal rasuah ahli-ahli Umno.

“Dalam masa beberapa minggu ini ramai pemimpin Umno sama ada keluar daripada Umno atau ditahan SPRM, jadi itu memberi tekanan yang hebat terutama akar umbi itu sendiri.

“Jadi dalam hal ini saya rasa itu cabaran paling utama pada PAU kali ini,” katanya.

Tiga pemimpin Umno meninggalkan parti itu dalam tempoh seminggu dan Umno kini hanya mempunyai 49 kerusi Parlimen selepas 5 wakil rakyatnya keluar parti sejak pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed meninggalkan Umno pada 18 September lalu, diikuti Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman keesokannya dan Ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengambil tindakan sama Isnin lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.