2 rakyat Malaysia selamat dipindah dari lokasi gempa di Sulawesi

Zamshari Shaharan berkata, seorang daripada warga Malaysia itu dibawa ke Lapangan Terbang Palu untuk pulang ke Malaysia, manakala seorang lagi dibawa keluar dari kawasan gempa. (Gambar Bernama)

JAKARTA: Dua rakyat Malaysia dilaporkan berada di Sulawesi Tengah ketika dilanda tsunami dan gempa bermagnitud 7.4 skala Richter, Jumaat lalu.

Berdasarkan maklumat awal, kedua-duanya dilaporkan selamat dan sudah dikeluarkan dari kawasan gempa.

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho berkata, 2 rakyat Malaysia itu antara 61 rakyat asing berada di Sulawesi Tengah ketika gempa itu menggegarkan Kota Palu dan Donggala.

“Rakyat asing dilaporkan selamat, kecuali seorang warga Korea Selatan yang dipercayai masih terperangkap dalam runtuhan Hotel Roa Roa di Kota Palu,” katanya.

Timbalan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zamshari Shaharan berkata, seorang daripada warga Malaysia itu dibawa ke Lapangan Terbang Palu untuk pulang ke Malaysia, manakala seorang lagi dibawa keluar dari kawasan gempa.

“Pihak kedutaan Malaysia juga belum mendapat maklumat lengkap berkenaan identiti kedua-dua rakyat Malaysia itu berikutan masalah komunikasi,” katanya kepada Bernama.

Menurut BNPB, setakat 12 tengah hari tadi, 832 mangsa disahkan terkorban, manakala 209 gempa susulan bermagnitud 2.9 hingga 6.2 skala Richter direkodkan berlaku di Sulawesi Tengah.

Sutopo berkata, jumlah korban dikhuatiri terus meningkat ketika usaha mencari dan menyelamat mangsa tertimbus di bawah runtuhan bangunan dan rumah berdepan pelbagai kekangan seperti jalan raya rosak serta jaringan komunikasi dan elektrik yang belum pulih sepenuhnya.

Lapangan Terbang Mutiara SIS Al Jufri Palu di Sulawesi Tengah pula hanya kembali beroperasi secara manual hari ini, berikutan kerosakan teruk akibat gempa itu dan operasi penerbangan lebih menjurus kepada penerbangan kecemasan, operasi mencari dan menyelamat serta kemanusiaan.

Menurut sumber Kedutaan Malaysia, seorang daripada rakyat Malaysia itu dikenali sebagai “Dr Farah” yang dilaporkan berada di Lapangan Terbang Palu, manakala seorang lagi ialah lelaki India.

“Pihak berkuasa Indonesia sedang mengambil langkah sewajarnya membantu warga asing yang terkesan akibat gempa dan tsunami itu,” kata sumber itu.