Kerajaan salur bantuan kepada mangsa gempa Sulawesi

Kerajaan salur bantuan kepada mangsa gempa Sulawesi

Timbalan perdana menteri berkata Malaysia akan mengerahkan pasukan SMART ke Indonesia dan memberi sumbangan RM500,000.

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengerahkan unit Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami Palu, Pulau Sulawesi, Indonesia dalam masa terdekat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sumbangan RM500,000 juga akan diberikan bagi membantu mangsa bencana.

“Saya telah bercakap melalui telefon dengan Timbalan Presiden Indonesia, Jusuf Kalla sebelum datang ke acara ini tadi.

“Jadi Indonesia sekarang memang terbuka untuk menerima sumbangan dan bantuan dari Malaysia dan kita akan bantu mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan acara penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad Paralimpik negara hari ini.

Azizah menjangkakan sedikit kekangan kerana kini terlalu banyak kapal terbang yang sedang mendarat di Makasar, tempat mangsa gempa bumi dipindahkan.

“Sekarang ini sukar untuk kita mendarat kerana terlalu banyak kapal terbang di Makasar.

“Jadi kita tidak mahu merosakkan landasan untuk kapal terbang lain yang akan masuk nanti,” katanya lagi.

Sehingga hari ini lebih 840 mangsa disahkan terkorban dalam kejadian gempa dan tsunami bermagnitud 7.4 skala ritcher yang berlaku di Sulawesi Tengah Jumaat lalu

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.