Cukup 10 tahun berpolitik saya kembali ke UIA, kata Maszlee

Maszlee Malik. (Gambar Bernama)

GOMBAK: Presiden baharu Universiti Islam Antarabangsa Maszlee Malik mengumumkan dia mahu kembali ke universiti itu selepas 10 tahun bergiat dalam bidang politik.

Maszlee, yang mula bergiat dalam politik secara aktif hanya pada Mac lalu berkata dia memasuki arena politik kerana bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Cita-cita saya hanya ingin lihat Najib jatuh,” katanya dalam majlis syarahan sulung presiden UIA malam tadi.

Beliau menjawab pertanyaan seorang pensyarah semasa sesi soal jawab di acara yang diadakan di pusat kebudayaan universiti itu.

Selepas melontarkan soalan, pensyarah itu turut menyuarakan hasrat untuk melihat Maszlee menjadi seorang perdana menteri suatu hari nanti.

“Saya ambil itu sebagai cabaran, saya perlukan doa anda. Saya tidak rasa ianya sesuai untuk saya,” kata Maszlee.

“Saya rasa tempoh selama 10 tahun sudah cukup untuk saya di dalam politik dan selepas itu saya akan kembali semula ke UIA.”

Maszlee berucap kepada kira-kira 1,000 warga UIA selaku presiden baharu universiti itu.

Maszlee dilantik menggantikan Tan Sri Rais Yatim sebagai presiden ke-8 UIA. Kerusi itu kosong sejak tempoh perkhidmatan 5 tahun Rais tamat Jun lalu.

Wakil rakyat penggal pertama ini juga dipilih Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai menteri pendidikan.

Pada 7 Jun, Maszlee memberi jaminan kepada pentadbiran universiti bahawa institusi itu tidak akan disalah gunakan oleh sesiapa, termasuk dirinya demi kepentingan politik.