Exco cadang Putrajaya perkenal ‘cukai perumahan’ untuk bina rumah murah

GEORGE TOWN: Seorang exco Pulau Pinang hari ini mencadangkan kerajaan persekutuan memperkenalkan satu bentuk “cukai perumahan” supaya lebih banyak rumah berkos rendah dan sederhana rendah boleh dibina.

Exco Jagdeep Singh Deo berkata “cukai” itu tidak semestinya cukai tambahan, tetapi mekanisme untuk Putrajaya mengasingkan jumlah tertentu kepada kerajaan negeri untuk perumahan awam.

Beliau berkata konsep itu boleh dilaksanakan seperti di United Kingdom dan negara Eropah lain.

“Apa pun cukai yang dikutip sekarang, jumlah tertentu harus diperuntukkan untuk perumahan awam. Cukai yang dikutip sekarang ini untuk pelbagai sebab. Kita tidak pasti cukai-cukai itu digunakan untuk apa.

“Jadi dengan mentakrifkan peruntukan itu sebagai cukai perumahan, sekurang-kurangnya kita tahu berapa banyak disalurkan kepada negeri untuk dana perumahan,” katanya pada sidang media hari ini.

Jagdeep berkata walaupun Pulau Pinang meminta pemaju swasta membina perumahan mampu milik, terdapat kekurangan rumah-rumah yang dibina kerajaan persekutuan.

Beliau berkata tidak ada banyak projek perumahan kerajaan persekutuan di Pulau Pinang walaupun negeri itu antara 3 negeri pembayar cukai tertinggi.

“Saya akan sediakan satu cadangan penuh untuk dikaji menteri perumahan. Sekurang-kurangnya kita dapat pastikan berapa banyak dana perumahan yang disediakan untuk negeri,” katanya.

Jagdeep berkata Pulau Pinang berusaha sebaik mungkin untuk memastikan lebih banyak rumah mampu milik dibina, dengan 28,915 unit terbina sejak 2008.

Beliau berkata 22,065 unit sedang dibangunkan dan 32,212 lagi diluluskan untuk pembinaan.

Jagdeep berkata untuk memastikan hanya golongan yang layak membeli unit-unit itu, jawatankuasa pemilihan bersidang sebanyak 49 kali dan menyenarai pendek 41,121 pemohon yang layak sejak 2013.