Hala tuju Umno kini jelas, KJ undang padah, kata penganalisis

PETALING JAYA: Penganalisis politik terkenal Kamarul Zaman Yusoff berkata hala tuju Umno kini lebih jelas selepas berakhirnya mesyuarat tahunan parti Melayu itu Ahad lalu.

Kamarul Zaman Yusoff.

Beliau berkata akar umbi Umno jelas memberitahu Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa mereka mahu pembentukan barisan pembangkang yang kuat.

“Sebelum perhimpunan agung disebut oleh Zahid bahawa Umno berminat menjalankan kerjasama atau kerajaan perpaduan dengan mana-mana pihak dalam Pakatan Harapan. Dalam ucapan perasmian beliau juga disentuh perkara ini,” kata Kamarul.

“Selepas persidangan selesai para perwakilan ramai yang menolak termasuk ketua Pemuda dan ketua Puteri. Nampak presiden Umno sedikit mengalah dan berkata Umno akan fokus kepada mengukuhkan kerjasama dalam gagasan pembangkang.”

Zahid dalam ucapan penggulungan kelmarin menggugurkan semua cakap-cakap mengenai kerajaan perpaduan dengan mana-mana parti pemerintah.

Beliau juga mengumumkan Umno akan kekal sebagai pembangkang menghadapi kerajaan PH.

Umno sebahagian daripada Barisan Nasional yang turut dianggotai oleh MCA, MIC, MyPPP dan Parti Bersatu Sabah. Parti it pernah bekerjasama dengan PAS dan 4 parti dalam Gabungan Parti Sarawak, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

KJ undang padah

Bagaimanapun, bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin kelmarin berkata pendirian Zahid masih kurang jelas menentukan hala tuju parti.

“Anda perlu jelas jika anda memimpin parti. Tidak boleh berkata seolah-olah mahu menjalin kerjasama dengan PH tetapi hari ini kata nak lawan. Zalim lah,” kata Khairy kepada pemberita selepas ucapan dasar presiden.

Kamarul berkata Khairy mengundang padah kerana Zahid dalam ucapan penggulungan memberi amaran tidak boleh lagi mengkritik parti secara terbuka.

Penganalisis ini berkata tindakan tatatertib boleh dikenakan terhadap Khairy jika Ahli Parlimen Rembau itu terus mengkritik presiden secara terbuka.

“Ini seakan meletakkan Khairy dalam keadaan yang agak tersepit, mungkin beliau perlu mempertimbangkan semula kedudukan beliau di dalam Umno,” katanya.

“Kena tunggu dan lihat perkembangan seterusnya untuk melihat apa yang bakal berlaku kepada Khairy. Jika beliau
masih bertegas dengan sikapnya mengkritik presiden secara terbuka maka tidak mustahil beliau akan terkeluar daripada Umno.”

Jenama BN

Mengenai rancangan Zahid menjenamakan semula BN dengan 5 parti teras, Kamarul tidak pasti bagaimana perkara itu boleh dilaksanakan berikutan keadaan BN tidak menentu ketika ini.

Beliau menjelasan PBS mengatakan ia masih dalam BN sebab tidak diterima PH sementara MCA pula memberi amaran kepada Umno tentang kerjasama dengan PAS.

“Ini nampak seolah-olah parti-parti dalam BN juga mungkin tidak begitu berminat, sebab Umno dilihat belum mempunyai tarikan untuk menarik pihak lain.”