Isa Samad tepis konspirasi jatuhkan Anwar

PORT DICKSON: Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menepis cakap-cakap mengenai konspirasi baharu menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi penyertaannya dalam pilihan raya kecil Parlimen Port Dickson.

Calon bebas itu berkata dakwaan itu hanyalah cerita rekaan yang beliau percayai ada kaitan dengan pemilihan PKR selain untuk memenangkan Anwar pada PRK itu.

“Ia mengelirukan rakyat dan mungkin menguntungkan pihak dia kerana kononnya Tun Dr Mahathir Mohamad lebih kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan menggunakan saya,” katanya dalam wawancara FMT di bilik operasi pilihan rayanya semalam.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani mendakwa penyertaan Isa dalam PRK itu adalah konspirasi untuk menjatuhkan Anwar, oleh mereka yang berada dalam Pakatan Harapan dan “pemain yang sama” pada 1998.

Abdullah merujuk kepada pemecatan Anwar sebagai timbalan perdana menteri pada 1998, peristiwa yang melancarkan gerakan reformasi.

Abdullah sebelum ini pernah mendakwa Dr Mahathir dan Tun Daim Zainuddin mahu menghalang Anwar menjadi perdana menteri.

Menjelaskan peristiwa 1998, Isa berkata mereka pada masa itu yakin Anwar melakukan “sesuatu yang tidak betul”.

“Jadi kita ambil keputusan pecat dia sebagai ahli parti. Kita punya keyakinan apa yang didakwa memang benda betul terjadi.

“Masa itu memanglah semua menteri besar menyokong Dr Mahathir,” kata bekas menteri besar Negeri Sembilan itu.

Isa juga menyambut baik janji PH menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat kerugian Felda dan sedia menerangkan masalah lembaga itu supaya mereka boleh menyelesaikannya.

“Masalah Felda ini bukan rumit sangat,” kata bekas pengerusi Felda itu. “Cuma Felda menjadi fokus orang politik bila nak dekat pilihan raya.”

“Bukanlah saya nak kata Felda ini sempurna, tapi bila politik masuk dalam isu ini seolah-olah masalah Felda dahsyat sangat. Kalau tengok betul-betul banyak benda yang boleh selesai.”