Mahkamah dengar merit kes SIS cabar fatwa Selangor bulan depan

Gambar Reuters.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini akan mendengar merit dan beberapa isu bidang kuasa berkaitan fatwa dalam permohonan semakan kehakiman difailkan Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) bagi mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Peguam Syarie, Majdah Muda yang mewakili Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkata, antara isu bidang kuasa yang akan didengar ialah sama ada mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan semakan kehakiman berhubung fatwa.

“Kami juga mencabar pemohon ke-3 dalam kes ini, iaitu bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim sama ada beliau ada locus standi untuk mencabar fatwa,” katanya selepas prosiding dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Faizah Jamaludin, hari ini.

Katanya, antara merit yang akan didengar ialah sama ada fatwa melampaui undang-undang persekutuan, sama ada fatwa bercanggah Perlembagaan Persekutuan, sama ada Mais bertindak melebihi kuasa diperuntukkan dan fatwa melampaui enakmen negeri.

“Selain itu, beberapa isu seperti multimedia juga akan didengar,” katanya sambil memaklumkan mahkamah menetapkan 23 November ini untuk pengurusan lanjut kes berkenaan.

Pada 25 September lalu, panel 7 hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum memerintahkan permohonan semakan kehakiman itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran merit kes, termasuk persoalan membabitkan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Semua pihak terbabit juga berbincang dan menandatangani perintah persetujuan bagi kes itu dan panel itu kemudiannya membatalkan rayuan Mais, Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Kerajaan Selangor terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 2 Mac 2017 yang membenarkan permohonan SIS memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Malanjum berkata, semua pihak terbabit boleh mengemukakan hujahan berhubung isu bidang kuasa di Mahkamah Tinggi yang akan menjimatkan banyak masa dan seterusnya mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu, selepas membenarkan rayuan SIS terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 24 Jun 2016 yang menolak permohonan SIS, Pengasasnya Zainah Mahfoozah Anwar dan Zaid untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat.

Mahkamah Tinggi memutuskan mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan mengenai isu berkaitan fatwa.

Pada 31 Oktober 2014, SIS Forum (Malaysia), Zainah dan Zaid memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu menyeleweng daripada ajaran Islam dan menamakan Jawatankuasa Fatwa Selangor, Mais dan Kerajaan Selangor sebagai responden.

Mereka memohon perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Mais yang menyatakan pertubuhan itu dan mana-mana individu serta kumpulan yang menerima pakai ideologi liberalisme serta pluralisme sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.

Mereka juga memohon perisytiharan terhadap keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Mais melalui fatwa itu dengan mengarahkan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi menyekat laman sesawang sosial yang melanggar ajaran Islam sebagai bercanggah Seksyen 3 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Selain itu, mereka turut memohon deklarasi SIS yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai “company limited by guarantee” tidak tertakluk dan bukan subjek kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Mais.