Selepas gempa dan tsunami, gunung api di Sulawesi pula meletus

Pihak berkuasa sedang memantau keadaan di Gunung Berapi Soputan. (Gambar Twitter)

JAKARTA: Pulau Sulawesi terus diancam bencana alam apabila Gunung Berapi Soputan yang terletak di Kabuten Minahasa, Sulawesi Utara, meletus pagi ini.

Gunung itu meletus pada 8.47 pagi tadi (waktu Indonesia Timur) dan mengeluarkan abu berwarna kelabu setinggi 4,000m yang kepulannya menghala ke arah barat laut, namun setakat ini aktiviti penduduk atau operasi penerbangan tidak terjejas.

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho berkata, pihak berkuasa mengeluarkan arahan melarang penduduk melakukan kegiatan dalam lingkungan 4km dari gunung berkenaan.

Buat masa ini, katanya, BNPB serta Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) sedang memantau keadaan di gunung berapi itu.

Kali terakhir gunung berapi berketinggian 1,784m yang terletak kira-kira 56km dari Kota Manado itu meletus pada 2015.

Jumaat lalu, Sulawesi Tengah dilanda gempa bumi dan tsunami yang menyebabkan lebih 1,200 orang terkorban setakat ini, selain memusnahkan puluhan ribu bangunan dan kediaman.

Gempa bumi dengan kekuatan 7.4 pada skala Richter itu turut mencetuskan lebih 250 gempa susulan sehingga kini.