Politikus anjur konsert, rakyat jadi mawas, menurut Shahnon Ahmad

Satu pagi, ketika saya sedang menikmati teh bersama-sama almarhum Cikgu Shahnon Ahmad, di rumah beliau di Changkat Minden, saya ada bertanya mengapa “kuda tua” sahaja yang Cikgu sentuh, mengapa Cikgu tidak mengkritik “kuda muda”.

Adakah “kuda tua” sahaja yang menurut pandangannya mahazalim? Cikgu memandang saya dengan penuh serius, seolah-olah saya naif, dan kemudian memberitahu; “Fisal (begitu panggilan Cikgu untuk saya) belum pernah baca Sutan Baginda (1). Itu tentang “kuda muda”, itu tentang dia, tentang “orang itu’”.”

Sejak itu, saya hanya merujuk “kuda muda” itu sebagai “orang itu” di hadapan guru.

Hari ini guru saya, Cikgu Shahnon Ahmad sudah tiada. “Kuda tua” sudah semakin tua, sementara “kuda muda” sudah melalui fitrah alam, ikut menjadi tua.

Siapa yang pernah membaca Sutan Baginda?

la mengisahkan Sutan, seorang politikus yang bercita-cita menjadi orang nombor satu dalam partinya, PARAYU.

Dia belum nombor satu. Tapi berusaha agar dapat menjadi nombor satu sedaya upayanya. Sutan mengahwini Uji, seorang ustazah; dan menggunakan isterinya itu dalam menentukan ayat al-Quran dan hadis Nabi yang boleh diputar-belitkan untuk menarik perhatian ahli parti dan rakyat.

Sementara itu isteri kedua Sutan adalah Dahlia, seorang pensyarah Sains Politik, yang dijadikan sandaran untuk lebih mendalami soal organisasi, kuasa dan kegemilangan. Juga Dahlia membantu sekian selok-belok politik supaya kelihatan lebih mantap dalam menebarkan pengaruh.

Di antara kedua-duanya terdapat Fidah. Beliau adalah perempuan simpanannya, seorang penyanyi Rock yang digunakan untuk menarik massa. Selalu juga Sutan menganjurkan konsert untuk hidangan pengikut dan rakyat. Kadang-kala Sutan menyerahkan Fidah kepada pemimpin yang berkaitan sebagai sogokan.

Dalam mengejar kuasa dan hasrat menjadi nombor satu, Sutan selalu terlupa dirinya, dan dirasuki kegilaan mengejar kuasa. Perhatikan petikan dari halaman 110:

“Hanya Sutan Baginda seorang sahaja yang berkuasa. Biar yang lain tunduk dan sembah ana ini. Biar mereka takut dan gusar dan bimbang.”

Apa yang menarik ialah watak Sutan dalam novelet ini membahasakan dirinya “ana” bagaikan seorang Pak Sheikh sebuah organisasi Islam sedangkan sebetulnya dia adalah pemimpin nombor 2 sebuah parti politik yang digambarkan rakus mendera dan menunggang rakyat.

Sepanjang pergaulan saya dengan Cikgu Shahnon, beliau melihat politik sebagai instrumen yang utama untuk membangunkan peribadi dan batin masyarakat.

Politik menurut Shahnon adalah bentuk kawalan masyarakat paling berkesan. Jika songsang politik maka seleweng jugalah masyarakat.

Oleh sebab itu, Shahnon memandang politik sebagai perkara yang paling menekan, sehingga menghasilkan kegelisahan (atau beliau rujuk sebagai sensitiviti) lalu kegelisahan ini tersalur sebagai karya.

Ini disebut oleh beliau sendiri pada bahagian pengantar novelet Sutan Baginda:

“Demikian politik gelabah hodoh kontemporari yang berkembang kesongsangan dan terarah kepada puncak kehancuran yang pastinya parah kerana demikian janji Allah.

“Iklim inilah yang menekan dan menindas hati-jiwa sehingga tergelodak daya persepsi, menggelisahkan sensitiviti dan terus menggalakkan daya kreatif. Dan akhirnya di subuh yang bening dalam cuaca yang basah lahirlah novel pendek Sutan Baginda.

“Dan Sutan Baginda benar-benar licik dengan taktik-taktik dan cekcok-cekcoknya; mengikis segala adab dan susila ketimuran dan kelslaman sehingga buah-buah hati pun hanya dilihat sebagai barang-barang sekadar untuk dieksploitkan untuk perut dan syahwat sendiri.”(2)

Hakikat bahawa watak Sutan Baginda itu mengikis sendiri susila Timur dan Islam ketika berkempen, atau bertukar-tukar wajah dan rupa ketika berdepan massa; perlu direnung kembali.

Watak Sutan khususnya apabila mendepani masyarakat Melayu Islam yang lebih konservatif; dia menggunakan Uji, dan apabila berdepan dengan masyarakat sivil yang lebih liberal maka dia menggunakan Dahlia. Apabila mendepani rakyat yang lapar nafsunya, Sutan menyajikan konsert dan Fidah dikedepankan.

Saya masih ingat, Cikgu memesan dan memberi amaran betapa ahli politik harus diawasi dan sebagai seniman; tanggungjawab itu tidak boleh dihindarkan. Ini ialah kerana ahli politik sering mengganggu-gugat kestabilan masyarakat dengan perangai gagal dan kesampaian hati mereka dalam mencabul hak-hak yang termaktub.

Oleh itu karya sastera berperanan teguh untuk merekod, mengadili dan menunjuk arah. Tidaklah menghairankan jika arwah Cikgu Shahnon sangat anti dengan politikus yang berubah-ubah pendirian, terutama jika pendirian itu diubah-ubah semata-mata untuk mengejar kuasa dan benda. Hal ini diungkapkan beliau dalam sebuah buku lain “Corat-coret Berkelongsong”:

“Memang soal berubah sikap dan strategi perjuangan adalah perkara biasa dalam politik tetapi biarlah perubahan sikap dan strategi itu memperlihatkan kematangan kita berpolitik; bukan kebudak-budakan dan bukan yang bertujuan hanya untuk kepentingan diri dari aspek kebendaan semata-mata.”(3)

Shahnon bahkan menyifatkan ahli politik begini sebagai katak berlompatan dan mawas bergayutan. Sayugia diingatkan Shahnon bukan sahaja merujuk ahli politik yang lompat parti sebagai mawas dan monyet, tetapi beliau melabelkan gelar binatang dan haiwan itu buat pengikut mereka juga.

Juga, gelar katak dan mawas itu diberikan kepada menteri yang turun ke lapangan untuk memberi gula-gula pilihanraya. Menurut Shahnon, mereka juga tidak kurang lotongnya:

“Meskipun yang banyak berlompatan dan bergayutan di mana-mana itu ialah katak, mawas, kera, lotong, budak-budak dan ahli sukan, tetapi di negara kita ini yang tak kurang juga jenuhnya yang berfiil katak dan mawas ialah orang-orang politik.

“Apabila timbulnya sesuatu krisis, atau hampir pilihanraya, atau sesudah mana-mana para menteri membuat lawatan ke sesuatu tempat ataupun selepas pilihanraya, maka banyaklah babak-babak lompat dan gayut ini didramakan.”(4)

Shahnon membahagi politikus kepada 3 jenis. Pertama, “yang belah buluh”. Kedua, yang “belon”, dan terakhir yang “telanjang” atau tidak tahu malu:

“Politik belah buluh adalah politik mengangkat satu golongan sedangkan golongan yang lain ditindas. Macam kita belah buluh jugalah. Yang sebelah kita pijak, yang sebelah lagi kita angkat.

“Politik belon ialah politik kembung bila ditiup angin masuk ke dalam. Orang politik yang kembang bila dipuji tapi kalau tak ditiup angin, mereka kempis saja.

“Satu lagi ialah politik telanjang – politik bogel – the naked politics. Politik telanjang ialah politik tanpa sopan-santun, segan-silu, tak hormat orang lain dan semuanya kasar dan hodoh.

“Macam orang bogel jugalah. Tak malu, tak ada maruah dan muka tokoh-tokoh ini tebal macam kulit…lnilah umumnya pandangan saya terhadap kepimpinan dan politik sekarang ini; baik dalam kerajaan mahupun di luar kerajaan.”(5)

Saya fikir inilah antara lain sebabnya Cikgu Shahnon tidak betah menjadi ahli politik dan hanya sempat menjadi seorang Yang Berhormat untuk satu penggal. Di mata beliau, ahli politik baik dalam dan luar kerajaan sama sahaja bogelnya.

Saya membayangkan, jika saya dan Cikgu Shahnon (masih ada) lantas kami duduk berbual-bual Sabtu ini, kami akan melabun seperti inilah.

Mungkin Cikgu akan mengulas novel saya Profesor, dan saya pula akan menanyakan lagi perihal “kuda tua” dan “kuda muda”.

Tentu Cikgu akan merujuk kembali Sutan Baginda pada adegan konsert Fidah yang penuh huru-hara, atau adegan jamu menjamu makan, atau pada adegan Sutan memberi ceramah atau tazkirah agama berpandukan petikan ayat al-Quran yang disuguhkan isterinya, Uji.

Saya fikir, jika saya duduk di hadapan Cikgu pada petang Sabtu; kami akan menuding siapa yang politiknya politik belah buluh, dan siapa pula yang meniup politik belon. Akhirnya saya yakin, kami akan sama-sama mengherdik politik telanjang.

Paling dukacita, barangkali, kami akan sama-sama curiga dan hiba; bahawa rakyat yang tidak sedar dibodoh-bodohkan ini akan memakan umpan dan ikut bergayut dan menari.

Saya terngiang-ngiang suara Cikgu Shahnon – barangkali ciptaan saya sendiri – apakah yang baharu di Malaysia Baru?

Nota:

1. Shahnon Ahmad. 1989. Sutan Baginda. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

2. Ibid. Hlm. vii

3. Shannon Ahmad. 1995. Corat-coret Berkelongsong. Shah Alam. Fajar Bakti. Hlm. 157

4. Ibid. Hlm. 156.

5. Ahmad Kamal Abdullah (pny). 1993. ‘Temubual Shahnon Ahmad dengan Dr. Mohd Yusof Hassan’. Jambak 1: Proses Kreatif Pengarang Melayu. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 201-202.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.